Monday, January 9, 2012

Gaji doktor junior lebih tinggi

Saya terpanggil untuk menulis di ruangan ini bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA, yang telah diumumkan baru baru ini.

Sebagai penjawat awam yang setia, kami secara 'paksa rela' menurunkan tandatangan persetujuan di atas skim gaji baru ini walau pun terkilan dengan kadar kenaikan gaji yang ditawarkan.

Sebenarnya ramai kakitangan kerajaan yang senior tidak mendapat kadar kenaikan gaji yang sama seperti yang dinikmati oleh penjawat yang lebih junior. Skim gaji SBPA hanya menguntungkan golongan tersebut.

Mereka mendapat longgokan kenaikan gaji yang mendadak dari tangga gaji skim lama ke tangga gaji baru SBPA di mana mereka diletakkan tangga gaji permulaan sebaris dengan mereka yang telah lama berkhidmat.

Golongan penjawat awam yang paling terkurang kenaikan gaji dalam skim baru ini adalah mereka yang telah berada di penghujung tangga gaji skim lama.

Saya adalah pegawai perubatan pakar yang telah berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan sejak tahun 1995 dan menjawat jawatan pakar pada tahun 2003 dengan tangga gaji UD41.

Kebanyakan daripada kami mengambil masa enam hingga tujuh tahun sebelum dinaikkan pangkat ke UD54 sekarang, berbanding dengan pakar pakar junior yang hanya mengambil masa dua hingga tiga tahun sebelum di naikkan ke tangga UD54 berdasarkan promosi 'tempoh perkhidmatan' atau 'time based' pada tahun 2010. Kenaikan pangkat yang mendadak ini telah meletakkan pakar perubatan senior sebaris dengan pakar perubatan junior.

Ramai di antara pakar pakar senior ini juga melanjutkan latihan di bidang sub-kepakaran masing masing. Walau pun saya dan rakan sejawat mempunyai skil sub-kepakaran dan penambahan bidang tugas yang lebih khusus, ini sebenarnya tidak menambahkan peluang kami untuk kenaikan pangkat atau tawaran gaji yang lebih baik, apatah lagi dengan system SBPA ini yang menyukarkan kenaikan pangkat lebih tinggi seperti Jusa.

Dalam sistem SBPA, semua pakar akan diberi kenaikan gaji bermula dengan tangga UD1-T1 kecuali mereka yang berada di peringkat Jusa dengan kenaikan gaji yang berlainan.

Berdasarkan laporan media dan kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kenaikan gaji kakitangan awam adalah sekitar tujuh hingga 13 peratus sahaja. Ini adalah tidak tepat kerana bagaimanakah hendak menjelaskan situasi seperti berikut: Kami golongan pakar yang senior yang telah berada di penghujung skala gaji lama hanya menikmati kenaikan sekitar 3.9 peratus sedangkan ada kakitangan yang jauh lebih junior menikmati kenaikan gaji melebihi 30 peratus.

Bagi golongan Jusa ada yang mencecah 70-80 peratus daripada gaji asas mereka. Contoh yang ketara adalah seorang pakar junior yang berada di tangga gaji lama RM5,465.42 (P1T2). Selepas Januari 2012 ini, gaji beliau akan bermula di skala UD1-6T1 RM7,061 iaitu lebih 30 peratus kenaikan. Bagi kebanyakan kami yang berada di P1T8 kenaikan gaji sebenarnya tidak melebihi RM300 .

Kami tidak menyimpan sebarang perasaan irihati terhadap rakan rakan sejawat yang lebih junior yang telah menikmati kenaikan pangkat yang lebih cepat dan kenaikan gaji yang lebih lumayan. Tetapi perasaan kecil hati, terkilan dan merasai khidmat kami yang bertahun-tahun setia dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya tetap ada.

Tidak dinafikan ada di kalangan kami yang telah atau akan meninggalkan KKM kerana tawaran yang lebih lumayan di luar sana, namun masih ramai lagi golongan pakar senior ini yang ingin meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat yang lebih memerlukan.

Malah kami juga memikul bertanggung jawab melatih dan menyelia pegawai perubatan, pegawai perubatan siswazah, terlibat dalam aktiviti aktiviti penambahbaikan perkhidmatan seperti ISO, akreditasi, KPIs, projek kualiti, penyelidikan dan sebagainya.

Perasaan yang sama juga diluahkan oleh sebahagian besar golongan kakitangan bawahan seperti jururawat, pembantu perubatan, pembantu kesihatan dan gologan sokongan yang lain.

Saya berharap pihak berwajib mengkaji semula cara pelaksanaan SBPA dan mengharap keadilan untuk semua peringkat golongan kakitangan kerajaan tidak kira di kementerian mana pun mereka berada.

Pakar Perubatan Terkilan,

Kuala Terengganu


UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: