Wednesday, January 11, 2012

CUEPACS mahu penjawat awam diberi peluang kedua

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta penjawat awam diberi peluang kedua untuk menandatangani penerimaan opsyen persaraan pada usia 60 tahun yang telah berakhir 30 Disember lalu.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, daripada maklum balas diterima, ramai pada kalangan penjawat awam tidak menandatangani opsyen itu berikutan maklumat kurang jelas.

Katanya, ramai penjawat awam khuatir sekiranya menerima opsyen berkenaan, pembayaran pencen hanya diterima selepas berusia 60 tahun biarpun pencen awal.

"Jadi kita harap mereka ini diberi peluang kedua untuk memilih opsyen tersebut setelah mendapat penerangan jelas daripada CUEPACS.

"Kita tidak mahu mereka tidak jelas dan tidak faham dengan kandungan opsyen ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama Pembantu Makmal dan Penolong Pegawai Sains Universiti di sini, hari ini.

Sementara itu, Omar meminta pembantu makmal universiti segera dinaikkan taraf kepada penolong pegawai sains khususnya di lima universiti penyelidikan.

"Dalam perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak universiti kira-kira tiga tahun lalu, kita bersetuju pada 2012 tiada lagi jawatan ini.

"Namun, masih ada universiti yang tidak menjalankan kursus program peralihan bagi pembantu makmal universiti yang membolehkan mereka dinaikkan taraf," katanya.

Tegasnya, sekiranya dalam masa tiga bulan perkara itu masih berlarutan, pihaknya mahukan semua pembantu makmal universiti menjalankan kerja-kerja setaraf dengan jawatan mereka.

"Langkah ini penting kerana pembantu makmal merupakan tulang belakang kepada ahli akademik, jadi mereka perlu dinaikkan taraf.

"Lagipun bagaimana untuk mencapai taraf universiti dunia dan tersenarai antara universiti terbaik dunia sekiranya kakitangan bawahan tidak dinaikkan taraf. Jumlah mereka bukanlah ramai, kira-kita 700 orang sahaja," ujarnya.

Mengenai Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SPBA), Omar berkata, pihaknya berharap penjawat awam yang menandatangani borang tanpa disertakan penyata pergerakan gaji dibenarkan untuk menandatangani semula borang tersebut.

"Ini kerana selepas menandatangani borang opsyen, baru mereka sedar ada beberapa kemusykilan," jelasnya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: