Tuesday, January 10, 2012

Negeri Sembilan teruskan dasar lama

SEREMBAN 9 Jan. – Kerajaan negeri akan terus mengguna pakai dasar-dasar lama kerana ia telah memperlihatkan hasil yang cukup membanggakan, malah boleh dilonjakkan ke tahap yang lebih baik jika dioptimumkan sebaiknya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, antara dasar itu ialah yang berkaitan dengan pelajaran apabila Negeri Sembilan berada di kedudukan lima terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Sehubungan itu, kerajaan negeri tidak berhasrat memperkenalkan dasar baharu dalam beberapa perkara yang telah elok,’’ katanya kepada pemberita selepas menghadiri program perhimpunan bulanan penjawat awam di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan, usaha kerajaan dan jabatan dalam membangunkan tanah terbiar untuk sektor pertanian, khususnya penanaman padi kini mula mendatangkan hasil yang memberangsangkan

“Pelbagai usaha telah pun kita lakukan dalam sektor penanaman padi yang dahulunya hanya 20 peratus untuk keperluan negeri dan kini telah menjangkau 30 peratus. Namun dalam aspek penanaman sayur-sayuran pula kita akan pertingkatkan secara berterusan.

“Kita tidak mahu terlalu bergantung kepada import dari negeri lain sedangkan kita mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan bahan makanan itu untuk keperluan rakyat di negeri ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kakitangan awam wajar menjadi duta kecil kepada kerajaan dalam menerangkan apa sahaja tuduhan yang dilemparkan oleh golongan yang berkepentingan politik untuk menjatuhkan imej kerajaan.

Malah katanya, tuduhan yang dilemparkan itu sebenarnya tidak mempunyai asas dan sewajarnya mereka yang mengetahui hal yang berlaku, menjelaskan kekeliruan tersebut.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: