Tuesday, June 4, 2013

Beri komitmen terhadap tugas


AZLAN Man menyampaikan ucapan di hadapan kakitangan awam Negeri Perlis dalam Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Perlis di Dewan 2020, Kangar, semalam.


KANGAR 3 Jun - Menteri Besar Perlis, Azlan Man mengingatkan anggota perkhidmatan awam negeri ini supaya memberi komitmen terhadap tugas dan meningkatkan disiplin masa.

"Setiap masa yang berlalu tidak akan berulang, oleh itu anggota perkhidmatan awam perlu membebaskan diri daripada kepompong yang menyebabkan mereka tidak dapat melihat jauh ke hadapan dan sama-sama membangunkan diri secara berakhlak.

"Jangan bergerak seperti siput. Perlu laju untuk capai wawasan," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan anggota perkhidmatan awam persekutuan dan negeri yang pertama dihadirinya sebagai Menteri Besar Perlis di sini hari ini.

Azlan berkata, penjawat awam perlu bersikap proaktif termasuk memainkan peranan sebagai fasilitator kepada pelabur bagi memastikan Perlis menjadi negeri mesra pelabur.

Katanya, Perlis akan terus menjadi negeri berdefisit jika langkah drastik tidak dilakukan bagi mengubah dimensi negeri yang sedang memberi fokus ke arah pencapaian wawasan negeri maju pada 2015 dan negeri bandar raya pada 2030.

Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2013, Perlis dijangka mengalami defisit sebanyak RM105.53 juta tahun ini kerana jumlah hasil negeri ialah sebanyak RM76.12 juta manakala perbelanjaan RM181.65 juta.

Yang turut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid. — BERNAMA

UTUSAN MALAYSIA


No comments: