Tuesday, June 4, 2013

Penjawat awam berterusan berpolitik berdepan tindakan

KUALA LUMPUR 4 Jun - Para penjawat awam yang terlibat secara berlebihan dalam politik akan dikenakan tindakan berdasarkan peraturan, pekeliling dan undang-undang yang termaktub di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Tegas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa, beliau telah mengarahkan ketua-ketua jabatan untuk memantau dan mengambil tindakan ke atas mana-mana penjawat awam yang masih aktif berpolitik termasuk melalui media sosial.

Menurutnya, malah sekiranya ketua-ketua jabatan mengesan mana-mana penjawat awam yang masih berpolitik dan gagal untuk mengambil tindakan, mereka juga boleh terus merujuk kes berkenaan ke JPA untuk tindakan lanjut.

"Sekarang bukan masanya untuk berpolitik. Waktu pilihan raya sudah tamat. Penjawat awam sepatutnya menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh mengikut dasar transformasi yang telah diperkenalkan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutupan Persidangan Tahunan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) JPA, Datuk Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Naib Yang Dipertua Puspanita, Datuk Ar. Puted Kamariah Mohamad.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta rakyat termasuk penjawat awam supaya tidak terbabit dalam politik secara berlebihan kerana hanya akan menyebabkan masa terbuang untuk negara terus melangkah ke hadapan.

Dalam pada itu, Ali yang juga Penasihat Puspanita menyeru ahli persatuan itu mengamalkan prinsip berjiwa rakyat dengan turun padang memberi penjelasan mengenai dasar-dasar dan program kerajaan serta membantu mendapatkan maklum balas keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.

Katanya, ahli-ahli Puspanita harus menyedari bahawa sebagai rakyat, mereka turut mendapat manfaat atau faedah daripada pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.

"Saya berharap agar Puspanita dapat menjadi rakan kongsi sektor perkhidmatan awam yang menjadi tonggak kepada pembangunan dan kemajuan negara dengan memainkan peranan seiring dengan transformasi persatuan itu.

"Saya juga berharap ahli-ahli Puspanita akan membantu kerajaan memberitahu rakyat segala dasar dan transformasi yang telah atau sedang dilakukan," katanya.




UTUSAN MALAYSIA

No comments: