Wednesday, June 12, 2013

KSU baharu KBS mulakan tugas hari ini

KUALA LUMPUR - Datuk Jamil Salleh yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang baru berikrar meneruskan dasar-dasar kementerian sedia ada, selain memberi penekanan kepada tiga perkara utama yang disarankan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini.

Beliau berkata, tiga perkara utama tersebut ialah memberi penekanan kepada hasil kerja berpasukan, sentiasa berinovasi sewaktu menjalankan tanggungjawab dan mengutamakan kualiti berbanding kuantiti.

"Tiga perkara utama itu merupakan saranan menteri sendiri dan saya berjanji akan memikul amanah tersebut dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada kerajaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Jamil, 54, yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Antarabangsa dan Pengurusan) KBS akan memulakan tanggungjawab barunya itu hari ini setelah mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan oleh Datuk Mohid Mohamed.

Menurut Jamil, tugas barunya itu juga memerlukan beliau sentiasa bekerja rapat dengan menteri bagi memastikan matlamat yang disasarkan oleh kementerian dapat dicapai.

Jelasnya lagi, teras perkhidmatan KBS ialah belia dan sukan, justeru beliau akan memastikan kehendak golongan tersebut dipenuhi mengikut kesesuaian semasa dan dalam masa sama tugas yang dilaksanakan itu perlu dilakukan dengan penuh integriti serta berdisiplin tinggi.

Beliau memberitahu, kepercayaan yang diberi oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa bagi memikul tanggungjawab besar itu akan cuba dilaksanakan sebaik mungkin dengan mengikut lunas undang-undang yang telah ditetapkan.

"Terima kasih kepada pengurusan tertinggi negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan khususnya kepada KSN yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk memikul tugas sebagai KSU di KBS.

"Kepercayaan ini bukan sahaja hadir daripada JPA sendiri, tetapi juga oleh Menteri Belia dan Sukan yang yakin kepada saya untuk memikul amanah tersebut dan saya berjanji akan melaksanakan tugas ini dengan penuh dedikasi," tegasnya.

Sementara itu, ketika ditanya peranannya sebagai Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Jamil memberitahu, beliau akan terus menyandang jawatan sebagai Pengerusi Yakeb selagi diberi kepercayaan memikul amanah tersebut.

Selain jawatan di Yakeb, beliau turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia.


UTUSAN MALAYSIA

No comments: