Thursday, June 18, 2015

Najib Cadang JPA, MPC Buat Kajian Pengukuran Produktiviti Sektor Awam

PUTRAJAYA, 17 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pengukuran produktiviti sektor awam yang lebih efektif dilakukan untuk menjadi kayu pengukur kepada pencapaian produktiviti yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Beliau mencadangkan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) membuat kajian pengukuran produktiviti sektor awam dengan menggunakan metodologi yang tepat.

"Jadi kita tahu di mana kedudukan kita. Kalau kita tahu produktiviti kita hari ini, kita akan lebih faham apa yang boleh kita lakukan dengan tepat. Kita tidak sebut secara umum sahaja atau rambang. Kita kena tahu secara spesifik jumlah produktiviti kita sekian banyak untuk hari ini.

"Hari esok, tahun hadapan, apa yang boleh kita lakukan untuk mencapai produktiviti yang lebih tinggi. Tetapi, kita mesti ada 'yard stick' atau pengukuran," katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-14 di sini hari ini, yang bertemakan 'Mendepani Realiti Baharu Negara Pertumbuhan Melalui Produktiviti dan Inovasi'.

Menyentuh berkaitan tema itu, Najib berkata produktiviti mempunyai tiga definisi iaitu pencapaian atau hasil kerja yang sama tetapi kos yang rendah; hasil kerja tambah tetapi kos yang sama dan hasil bertambah dan kos berkurangan.

"Bagi inovasi pula, ia merupakan penambahbaikan dari segi proses dan produk untuk menghasilkan output atau hasil. Dalam konteks perkhidmatan awam, bukan semua jabatan mengutip hasil.

"Jadi, definisi itu mestilah diubah suai dari segi kepuasan kepada rakyat atau kepuasan kumpulan sasar yang mana kita membuat proses penambahbaikan secara kreatif dan inovatif bagi mencapai dan meningkatkan tahap kebahagiaan awam," kata Najib.

Katanya peningkatan sesuatu produktiviti itu berkait rapat dengan elemen-elemen inovasi selain pengukuran sesuatu inovasi itu bergantung kepada kepuasan dan kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, Najib berkata negara tidak boleh selama-lamanya bergantung hanya kepada sumber-sumber semula jadi seperti minyak dan gas, yang akan pupus dan kehabisan dan sebab itulah kerajaan perlu mencari sumber pertumbuhan yang baharu.

"Ini bukan sahaja melibatkan sektor swasta tetapi kita hendak juga sektor awam menekankan peningkatan produktiviti dan inovasi," katanya.

Najib turut merakamkan penghargaan terhadap beberapa pencapaian yang cemerlang dan signifikan yang dicatatkan perkhidmatan awam, antaranya membangunkan sistem pemantauan bandar selamat untuk memantau pelaksanaan bandar selamat dalam usaha mengurangkan jenayah.

Inisiatif itu berjaya menerima Anugerah Kecemerlangan Geospatial World Forum dalam Aplikasi Teknologi Gespatial di Geneva, Switzerland pad 8 Mei tahun lepas, katanya.

Bernama Online

No comments: