Wednesday, June 10, 2015

KPP Dan KLF Langkah Alternatif Penjawat Awam Bantu Rakyat

TAWAU, 9 Jun (Bernama) -- Konsep Perkongsian Pintar (KPP) dan Konsep Leap Frog (KLF) perlu menjadi langkah alternatif kepada agensi perkhidmatan awam untuk terus membantu dan memenuhi kehendak rakyat, kata Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Katanya, KPP adalah kerjasama semua agensi melalui aplikasi teknologi maklumat (ICT) yang menghubungkan setiap agensi terlibat, manakala KLF merujuk kepada perubahan pantas pembangunan sesebuah agensi.

"Penjawat awam perlu selangkah ke hadapan kerana kecekapan sistem pengurusan terletak di bahu mereka dalam memenuhi kehendak rakyat," katanya pada Majlis Persidangan Ketua-Ketua Pegawai Maklumat (CIO) Agensi Kerajaan Negeri Sabah (AKNS) 2015 di sini hari ini.

Teks ucapannya disampaikan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk Ismail Mayakob.

Tawfiq, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Apas, berkata program itu berupaya menjadi platform kepada semua peserta yang terlibat menambah ilmu dan pengetahuan mengenai ICT.

Beliau turut menyarankan semua penjawat awam supaya sentiasa berusaha menggandakan usaha mempelajari dan memahami kepentingan ICT bukan sahaja bagi memperkasakan diri sendiri, tetapi juga bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam negara.


Bernama Online

No comments: