Wednesday, June 17, 2015

PAC Terima Laporan Maklum Balas Tindakan Susulan Laporan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Selasa menerima laporan maklum balas daripada Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung tindakan susulan mereka terhadap Laporan Ketua Audit Negara tahun 2012 dan 2013.

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ini merupakan kali pertama kementerian dan jabatan itu itu berbuat demikian selepas pihaknya memberi pelbagai syor untuk tindakan berdasar teguran Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.

"Menurut Arahan Perbendaharaan 304 menyatakan Kementerian Kewangan perlu memberi maklum balas kepada PAC berhubung syor dan cadangan yang diberikan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara.

Antara kandungan dalam maklum balas itu adalah penambahbaikan yang telah dijalankan oleh kementerian itu susulan syor dan cadangan yang diberikan oleh PAC selepas proses penyiasatan ke atas laporan ketua audit," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Katanya PAC juga turut menerima laporan daripada JPA berhubung tindakan susulan mereka terhadap pegawai-pegawai yang didapati melakukan kesalahan sepanjang perkhidmatan mereka dalam tempoh dua tahun itu.

"Berdasarkan laporan itu, dalam tempoh dua tahun itu seramai 339 pegawai dan kakitangan awam telah disiasat.

Daripada jumlah itu, 133 penjawat awam telah dikenakan tindakan ke atas pelbagai salah laku, manakala 206 lagi telah dibebaskan daripada tuduhan ataupun bersara," katanya.


Bernama Online

No comments: