Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, pelaksanaan pendekatan tersebut buat masa ini tidak berhadapan masalah memandangkan proses untuk ke arah itu sudah ada, dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperkenalkannya di semua jabatan sebagai latihan.

“Jadi untuk bahagian tersebut, kita akan cari jalan. Kita akan mulakan di UTC mulai awal tahun depan dengan Jabatan Imigresen dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah bersetuju, ini akan merancakkan program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas me­rasmikan NBOS JPA Outreach Programme di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Penganjuran program anjuran JPA dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak serta agensi kerajaan lain itu adalah untuk mendidik dan memaklumkan inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Lebih 2,500 peserta terdiri daripada pesara, bakal pesara, penjawat awam dan orang ramai dijangka menghadiri program yang diadakan selama dua hari itu.

Mengulas lanjut, Ali berkata, sehingga pertengahan tahun ini, tinjauan terhadap responden pe­langgan yang mengunjungi kaun­ter tersebut mendapati sebanyak 94 peratus pelanggan berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan.

Jelasnya, dengan purata me­nunggu hanya 10 minit bagi setiap perkhidmatan, keberhasilan nilai tambah tersebut telah membuka dimensi baharu dalam pengurusan pelanggan sektor awam oleh rakyat.

“Inisiatif ini memperlihatkan transformasi perkhidmatan kaunter kerajaan yang sebelum ini mengamalkan konsep satu kaunter satu perkhidmatan, kepada satu kaunter pelbagai perkhidmatan.

“1Serve telah melebarkan horizon perkhidmatan kaunter melalui suntikan nilai tambah yang signifikan dan di luar amalan biasa,” katanya.

Utusan Malaysia Online