Friday, June 26, 2015

PROGRAM IHYA RAMADHAN

INTAN Wilayah Utara telah menganjurkan Program Ihya Ramadhan pada 25 Jun 2015 bertempat di Dewan Jubli Perak, INTAN Wilayah Utara. Untuk siri pertama Ihya Ramadhan kali ini, Ustaz Ahmad Husam bin Dato’ Paduka Sheikh Mohamad Baderudin telah dipilih untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Ramadhan : Antara Adat dan Ibadat”.

Antara kandungan dan intipati ceramah adalah berkaitan tentang konsep puasa menurut Islam, pemakanan yang betul ketika bersahur dan berbuka dan fahaman salah mengenai puasa. Ustaz Ahmad Husam juga turut menekankan tentang kepentingan puasa dalam meningkatkan lagi amalan seharian.


Objektif Program Ihya Ramadhan ini adalah untuk perkongsian maklumat bersama anggota khidmat awam di Wilayah Utara dan komuniti di sekitar Sungai Petani. Sekitar 250 orang hadir untuk bersama-sama menjayakan program kali ini.yang bermula dari 10.30 pagi hingga 12.30 tengahari.










Friday, June 19, 2015

Penjawat Awam P.Pinang Dapat Bonus Setengah Bulan Gaji

GEORGE TOWN, 18 Jun (Bernama) -- Penjawat awam dalam perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang akan menerima bonus setengah bulan gaji atau minimum RM600, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Lim berkata pemberian bantuan khas kewangan itu melibatkan jumlah lebih RM5.2 juta.

"Bayaran untuk 4,178 penjawat awam itu akan dibuat pada 25 Jun ini," katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.

Lim berkata kerajaan negeri juga akan memberi bantuan khas hari raya kepada penyelia dan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA); guru Sekolah Rendah Agama Rakyat; guru Sekolah Menengah Agama Rakyat; guru dan staf Sekolah Persendirian Cina; guru tahfiz dan guru pondok; serta guru Tadika Islam.

Penyelia dan Guru KAFA, guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, guru Sekolah Menengah Agama Rakyat serta guru dan staf Sekolah Persendirian Cina akan menerima bantuan RM300 manakala guru tahfiz dan guru pondok serta guru Tadika Islam akan dapat RM200, katanya.


Bernama Online

Thursday, June 18, 2015

Najib Cadang JPA, MPC Buat Kajian Pengukuran Produktiviti Sektor Awam

PUTRAJAYA, 17 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pengukuran produktiviti sektor awam yang lebih efektif dilakukan untuk menjadi kayu pengukur kepada pencapaian produktiviti yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Beliau mencadangkan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) membuat kajian pengukuran produktiviti sektor awam dengan menggunakan metodologi yang tepat.

"Jadi kita tahu di mana kedudukan kita. Kalau kita tahu produktiviti kita hari ini, kita akan lebih faham apa yang boleh kita lakukan dengan tepat. Kita tidak sebut secara umum sahaja atau rambang. Kita kena tahu secara spesifik jumlah produktiviti kita sekian banyak untuk hari ini.

"Hari esok, tahun hadapan, apa yang boleh kita lakukan untuk mencapai produktiviti yang lebih tinggi. Tetapi, kita mesti ada 'yard stick' atau pengukuran," katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-14 di sini hari ini, yang bertemakan 'Mendepani Realiti Baharu Negara Pertumbuhan Melalui Produktiviti dan Inovasi'.

Menyentuh berkaitan tema itu, Najib berkata produktiviti mempunyai tiga definisi iaitu pencapaian atau hasil kerja yang sama tetapi kos yang rendah; hasil kerja tambah tetapi kos yang sama dan hasil bertambah dan kos berkurangan.

"Bagi inovasi pula, ia merupakan penambahbaikan dari segi proses dan produk untuk menghasilkan output atau hasil. Dalam konteks perkhidmatan awam, bukan semua jabatan mengutip hasil.

"Jadi, definisi itu mestilah diubah suai dari segi kepuasan kepada rakyat atau kepuasan kumpulan sasar yang mana kita membuat proses penambahbaikan secara kreatif dan inovatif bagi mencapai dan meningkatkan tahap kebahagiaan awam," kata Najib.

Katanya peningkatan sesuatu produktiviti itu berkait rapat dengan elemen-elemen inovasi selain pengukuran sesuatu inovasi itu bergantung kepada kepuasan dan kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, Najib berkata negara tidak boleh selama-lamanya bergantung hanya kepada sumber-sumber semula jadi seperti minyak dan gas, yang akan pupus dan kehabisan dan sebab itulah kerajaan perlu mencari sumber pertumbuhan yang baharu.

"Ini bukan sahaja melibatkan sektor swasta tetapi kita hendak juga sektor awam menekankan peningkatan produktiviti dan inovasi," katanya.

Najib turut merakamkan penghargaan terhadap beberapa pencapaian yang cemerlang dan signifikan yang dicatatkan perkhidmatan awam, antaranya membangunkan sistem pemantauan bandar selamat untuk memantau pelaksanaan bandar selamat dalam usaha mengurangkan jenayah.

Inisiatif itu berjaya menerima Anugerah Kecemerlangan Geospatial World Forum dalam Aplikasi Teknologi Gespatial di Geneva, Switzerland pad 8 Mei tahun lepas, katanya.

Bernama Online

Notis Potong Gaji Bagi Penjawat Awam Yang Gagal Bayar Pinjaman PTPTN - KSN

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Sejumlah 163,007 penjawat awam yang tidak pernah membuat pembayaran dan tidak konsisten menyelesaikan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menerima surat pemotongan gaji dalam masa terdekat.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan hari ini, berkata surat berkenaan akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Beliau berkata mengikut pecahan kategori, penjawat awam pelbagai gred (kecuali Gred Jusa C, Gred 54 dan Gred 28) yang tidak pernah membuat pembayaran adalah sebanyak 32,803 orang.

"Penjawat awam pelbagai gred yang membuat pembayaran sekali-sekala (tidak konsisten) adalah sebanyak 130,204 orang," katanya.

Ali sebelum ini dilaporkan berkata langkah memotong gaji mandatori penjawat awam yang liat membayar hutang PTPTN hanya akan dilakukan sebagai jalan terakhir bagi menyelesaikan masalah itu.

Bernama Online

Wednesday, June 17, 2015

Najib Umum Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 Kepada Penjawat Awam

PUTRAJAYA, 17 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu mengumumkan bayaran bantuan khas kewangan sebanyak RM500 untuk penjawat awam Gred 54 dan ke bawah.

Beliau turut mengumumkan bantuan khas untuk lebih 700,000 pesara kerajaan yang menerima pencen, dengan bayaran berjumlah RM250.

Kedua-dua pembayaran berkenaan akan dibuat pada 25 Jun, yang melibatkan anggaran implikasi kewangan berjumlah RM1 bilion, katanya.


"Bayaran ini bagi membantu dan meringankan beban kewangan penjawat awam membuat persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri," katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-14 di sini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan kadar baharu terendah imbuhan tetap perumahan dinaikkan daripada RM180 kepada RM300 sebulan untuk penjawat awam gred 41 dan ke bawah.

Beliau juga mengumumkan bagi mereka yang mendiami kuarters pula, yang selama ini tidak menikmati imbuhan tetap tersebut, turut mendapat faedah sebanyak 25 peratus daripada kadar imbuhan tetap perumahan sebenar, yang layak bagi mereka.

Najib berkata keputusan yang berkuat kuasa mulai 1 Nov depan melibatkan lebih 1.1 juta penjawat awam di seluruh negara, manakala implikasi kewangan pula ialah sebanyak RM1.04 bilion setahun.


Bernama Online

Najib Minta Penjawat Awam Tidak Bocor Rahsia Kerajaan



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan buku 'Melakar Wajah Baharu Perkhidmatan Awam-8 Prinsip Pemangkin Kecemerlangan' pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-14

PUTRAJAYA, 17 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta penjawat awam mentaati ikrar perkhidmatan awam untuk tidak membocorkan rahsia kerajaan.


Berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-14 (MAPPA XIV) di sini hari ini, beliau berkata insiden kebocoran rahsia kerajaan sebelum sesuatu pengumuman rasmi dibuat boleh memberi implikasi kepada keputusan kerajaan.

"Sehari dua ini ada kebocoran berlaku. Tolong jaga rahsia kerajaan, sebab mana-mana kerajaan pun mesti jaga rahsia.

"Kalau kita belum sedia buat pengumuman janganlah bocor sebab kalau bocor boleh jadi keputusan itu berlainan nanti.

"Ini belum apa-apa lagi tol dah kata kita nak naikkan. Sepatutnya kita ada kaedah tertentu. Inilah saya harap sangat penjawat awam kita sudah angkat sumpah jangan main-mainkan sumpah sebab ini untuk kebaikan negara kita," katanya.

Turut hadir pada majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

MAPPA yang dianjurkan sejak tahun 2000 bertujuan membolehkan Perdana Menteri menerangkan strategi serta perancangan kerajaan bagi meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

Minggu lepas, Najib menyuarakan kekesalannya berhubung kebocoran maklumat berhubung kenaikan kadar tol yang tersebar di media sosial susulan laporan oleh sebuah portal yang memetik sumber kabinet.

Katanya perbincangan mengenai perkara itu yang berlangsung pada mesyuarat kabinet tidak menghasilkan sebarang keputusan muktamad.

Portal terbabit melaporkan cadangan kenaikan itu dijangka membabitkan sekurang-kurangnya 16 lebuh raya dan jumlah itu mungkin meningkat kepada 19.

Bernama Online

Najib Cadang Penghargaan Kepada Jabatan/Kementerian Yang Berjimat


PUTRAJAYA, 17 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan satu pendekatan baharu dibentuk supaya jabatan atau kementerian yang berjaya melakukan penjimatan peruntukan boleh menerima semula sebahagian daripada usaha itu.

Beliau berkata ia sebagai penghargaan kepada jabatan atau kementerian terbabit kerana lebih efisien menjimatkan peruntukan agar mereka boleh melaksanakan program lain atau memberi insentif kepada pegawai mereka.

"Tradisi sekarang setiap tahun kita tengok bajet yang diluluskan dan kementerian mana yang habiskan bajet sepenuhnya dikira bagus.

"Maknanya kriteria dia habiskan peruntukan tetapi adakah itu kriteria mutlak? Kenapa kita tak cabar diri, kita boleh mencapai objektif dan KPI (petunjuk prestasi utama) tetapi boleh kurangkan perbelanjaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perdana perkhidmatan Awam ke-14 (MAPPA XIV) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

MAPPA yang dianjurkan sejak tahun 2000 adalah bagi membolehkan Perdana Menteri menerangkan strategi serta perancangan kerajaan bagi meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

Perdana Menteri memberikan contoh sekiranya Kementerian Pendidikan dapat melakukan penjimatan RM1 bilion daripada peruntukan, kaedah yang perlu dibincangkan ialah untuk memulangkan sebahagian daripada penjimatan itu kepada kementerian berkenaan.

Najib berkata amalan kini ialah peruntukan jabatan atau kementerian yang tidak dapat dihabiskan akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Yang Disatukan.

"Kalau kita jimatkan perbelanjaan, Perbendaharaan akan dapat balik peruntukan itu. Nanti ada yang kata kita kerja kuat tapi (peruntukan) balik pada perbendaharaan tak dapat merasai penjimatan," katanya.

Perdana Menteri meminta cadangan kaedah baharu itu dibincangkan antaranya melibatkan Ketua Setiausaha Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), ketua-ketua setiausaha kementerian, penjawat awam dan Cuepacs.

Bernama Online

Potong Gaji Jalan Terakhir Bagi Penjawat Awam Tidak Bayar PTPTN - Ali Hamsa

KUANTAN, 16 Jun (Bernama) -- Langkah memotong gaji mandatori penjawat awam yang 'liat' membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya akan dilakukan sebagai jalan terakhir bagi menyelesaikan masalah itu, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama ketua setiausaha setiap jabatan Rabu ini bagi membincangkan masalah yang melibatkan kira-kira 33,000 penjawat awam dan langkah terbaik bagi mengatasinya.

"Kita akan bermesyuarat bagi melihat apakah masalah mereka (peminjam) dan kenapa mereka liat untuk membawa hutang PTPTN.

"Jika kita tak jumpa jalannya, baru kita buat keputusan agar potongan gaji dikenakan kepada penjawat awam yang berhutang dengan PTPTN," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan.

Dilaporkan lebih 33,000 penjawat awam termasuk penyandang pelbagai jawatan kanan tidak pernah langsung membayar pinjaman PTPTN mereka.

Jumlah itu dilapor mewakili 12 peratus daripada keseluruhan lebih 280,000 kakitangan kerajaan yang membuat pinjaman PTPTN.

Ali berkata tidak semua penjawat awam dari jumlah terbabit tidak membayar balik hutang PTPTN mereka, malah tidak ada dari kalangan mereka yang diisytiharkan muflis.

"Cuma ada di antara mereka yang hanya bayar sekali sekala. Tidak eloklah kalau bayar sekali sekali, jadi kita harap akan ada jalan penyelesaiannya selepas mesyuarat itu nanti," katanya.


Bernama Online

CUEPACS Gesa Kerajaan Laksana Penambahbaikan 252 Skim Perkhidmatan Awam

KOTA KINABALU, 16 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa supaya kerajaan mengumumkan pelaksanaan dan penambahbaikkan 252 skim perkhidmatan awam menjelang perhimpunan Majlis Perdana Perkhidmatan Awam esok.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata CUEPACS masih menanti pelaksanaan skim perkhidmatan awam seperti yang dibentangkan dalam pembentangan belanjawan pada Oktober tahun lepas.

"Sebagai penjawat awam, sudah tentulah mereka menaruh harapan kepada kerajaan sebagai majikan dan sehingga kini, masih belum dapat gambaran jelas tarikh sebenar pelaksanaan skim ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Minggu Tanpa Tembakau peringkat negeri di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini Selasa.

Minggu Tanpa Tembakau peringkat negeri itu dilancarkan oleh Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Borhan Dolah.

Menurut Azih, CUEPACS juga berharap pelaksanaan skim perkhidmatan itu dapat dikuatkuasakan bermula Januari tahun ini.

Pada pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi jaminan kerajaan akan menambah baik 252 skim perkhidmatan awam termasuk skim kenaikan gaji, dan 81 daripadanya sudah dilaksanakan secara berperingkat.

Azih juga berkata pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak April lepas turut memberi kesan kepada penjawat awam apabila ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

Oleh itu, beliau berharap elaun rumah, elaun perumahan wilayah bagi Sabah dan Sawarak dan elaun sara hidup diselaraskan di seluruh negara.

"Kami minta bantuan kerajaan untuk lihat semula kadar ini agar lebih munasabah, lebih mampu supaya penjawat awam dapat memberi fokus kepada produktiviti masing-masing," katanya.


Bernama Online

PTPTN: CUEPACS Saran Pembayaran Balik Secara Mandatori Disegerakan

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bersetuju langkah pemotongan gaji secara mandatori dilaksanakan terhadap penjawat awam yang 'liat' membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Presidennya Datuk Azih Muda berkata mekanisme itu seharusnya dilaksanakan secepat mungkin bagi membolehkan PTPTN mendapatkan semula pembiayaan yang disalurkan kepada peminjam.

"Kami telah mengadakan perbincangan dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) dan mereka telah bersetuju untuk menguruskan kutipan bayaran tunggakan ini.

"Potongan gaji melalui arahan tetap bank boleh dilakukan dan ia perlu dilaksanakan segera. PTPTN dah ada rekod peminjam, cuma PTPTN boleh beri arahan berapa jumlah pembayaran balik dan tempoh yang dipersetujui kedua-dua pihak," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan lebih 33,000 kakitangan awam termasuk penyandang pelbagai jawatan kanan yang masih gagal membayar pinjaman PTPTN.

Jumlah itu mewakili 12 peratus daripada keseluruhan lebih 280,000 kakitangan kerajaan yang membuat pinjaman PTPTN.

Azih berkata peminjam tidak seharusnya melenting jika arahan pemotongan gaji secara mandatori itu dilaksanakan kerana ia merupakan tanggungjawab mereka untuk melunaskan hutang sebagaimana yang dipersetujui ketika menerima pembiayaan daripada PTPTN.

"Kalau tak nak bayar hutang, belajarlah bersungguh-sungguh, keputusan pengajian mestilah cemerlang, supaya pinjaman ditukar menjadi biasiswa," katanya.

Katanya cadangan itu dilihat sebagai tindakan 'menang-menang' kepada kedua-dua pihak, dengan peminjam secara automatik akan membayar pinjaman sebaik sahaja mendapat pekerjaan manakala proses mendapatkan kembali pembiayaan oleh PTPTN akan lebih mudah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata CUEPACS meminta kaunter di Pusat Transformasi Bandar (UTC) ditambah ekoran jumlah pelanggan yang semakin meningkat setiap tahun.

Katanya pihaknya menyarankan sekurang-kurangnya dua kaunter ditambah bagi setiap agensi yang terdapat di UTC bagi memudahkan raktyat berurusan.


Bernama Online

PAC Terima Laporan Maklum Balas Tindakan Susulan Laporan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Selasa menerima laporan maklum balas daripada Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung tindakan susulan mereka terhadap Laporan Ketua Audit Negara tahun 2012 dan 2013.

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ini merupakan kali pertama kementerian dan jabatan itu itu berbuat demikian selepas pihaknya memberi pelbagai syor untuk tindakan berdasar teguran Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.

"Menurut Arahan Perbendaharaan 304 menyatakan Kementerian Kewangan perlu memberi maklum balas kepada PAC berhubung syor dan cadangan yang diberikan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara.

Antara kandungan dalam maklum balas itu adalah penambahbaikan yang telah dijalankan oleh kementerian itu susulan syor dan cadangan yang diberikan oleh PAC selepas proses penyiasatan ke atas laporan ketua audit," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Katanya PAC juga turut menerima laporan daripada JPA berhubung tindakan susulan mereka terhadap pegawai-pegawai yang didapati melakukan kesalahan sepanjang perkhidmatan mereka dalam tempoh dua tahun itu.

"Berdasarkan laporan itu, dalam tempoh dua tahun itu seramai 339 pegawai dan kakitangan awam telah disiasat.

Daripada jumlah itu, 133 penjawat awam telah dikenakan tindakan ke atas pelbagai salah laku, manakala 206 lagi telah dibebaskan daripada tuduhan ataupun bersara," katanya.


Bernama Online

PROGRAM KECERGASAN WARGA (BOWLING BERSAMA PENGARAH WILAYAH UTARA)

Kelab Sukan dan Kebajikan (KESKI) INTAN Wilayah Utara meneruskan usaha mengeratkan hubungan sesama warga dengan menganjurkan ‘Bowling Bersama Pengarah INTURA’  pada 16 Jun 2015 bertempat di Pusat Bowling Sejati 

Seramai 40 orang peserta menyertai program ini terdiri daripada wakil daripada setiap unit di INTAN Wilayah Utara. Kategori yang dipertandingkan ialah Kategori Berkumpulan, Kategori Perseorangan Lelaki dan Kategori Perseorangan Wanita.

Majlis Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Zurina bt. Abdul Hamid, Pengarah INTURA. Tahniah kepada para pemenang dan juga warga INTURA yang memeriahkan program anjuran KESKI INTURA kali ini.













PROGRAM JPA4U@INTURA : KEM KERJAYA ANAK ANGKAT

Program JPA4U@INTURA : Kem Kerjaya Anak Angkat telah dianjurkan oleh  INTAN Wilayah Utara dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Negeri Kedah pada 16 Jun 2015. Objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang peluang kerjaya dan keperluan pasaran kerja pada masa kini. Selain daripada itu para pelajar juga didedahkan dengan konsep dan tujuan temuduga dijalankan dan tips untuk menjalani ujian / temuduga.

Selain daripada itu, para pelajar turut berpeluang ke Pusat Sains Negara, Cawangan Wilayah Utara di Alor Setar. Para pelajar turut  di dedahkan tentang kepentingan sains dan teknologi dalam menempuh cabaran masa kini.


Secara keseluruhannya program ini banyak membantu para pelajar membina sahsiah dan keyakinan diri dalam berkomunikasi. Para pelajar juga dapat menjadi agen dalam membantu menyebarkan maklumat yang diperolehi di sekolah masing-masing.

















Tuesday, June 16, 2015

KPPA Belum Terima Laporan Mengenai Isu Penjawat Awam Gagal Bayar PTPTN

PUTRAJAYA, 15 Jun (Bernama) -- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal masih belum menerima laporan mengenai isu penjawat awam yang gagal membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Tunggu dulu. Saya belum dapat laporan apa-apa pun," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Konsultasi Bajet 2016 di sini Isnin.

Media sebelum ini melaporkan lebih 33,000 kakitangan awam termasuk penyandang pelbagai jawatan kanan tidak pernah membayar langsung pinjaman PTPTN.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dilaporkan meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan awam yang tidak membayar langsung pinjaman itu.


Bernama Online

Monday, June 15, 2015

Khairy Cadang Tindakan Tatatertib Penjawat Awam Gagal Bayar PTPTN

PUTRAJAYA, 14 Jun (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mencadangkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap penjawat awam yang gagal membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau berkata tiada alasan bagi penjawat awam untuk tidak membayar balik pinjaman memandangkan mereka mempunyai pendapatan tetap.

"Bagi saya peminjam yang tidak membayar balik telah mengkhianati perjanjian dan menafikan hak pelajar lain untuk mendapatkan pinjaman yang sama kerana kita sedia maklum jumlah pinjaman PTPTN kini telah dikurangkan kerana ramai yang tidak membayar balik," katanya.

Katanya Jabatan Perkhidmatan Awam perlu pertimbangkan tindakan tatatertib dikenakan kerana penjawat awam harus mendukung dasar kerajaan dan bukan mengkhianati perjanjian tersebut.

Beliau demikian kepada pemberita selepas menyertai larian amal "Reach Out Run: Run for a Cause" ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini bahawa lebih 33,000 penjawat awam masih gagal membayar pinjaman PTPTN.

Khairy berkata beliau faham sekiranya atas beberapa masalah seperti menghidap penyakit kronik mungkin mereka tidak mampu bayar balik, namun peluang masih diberikan untuk mereka menjadualkan semula bayaran balik.

Larian amal anjuran iM4U itu berjaya mengumpul RM200,000 yang akan diagihkan kepada empat badan amal iaitu Heart Foundation of Malaysia, Dyslexia Association of Malaysia, SVM Welfare Association dan Langkawi Animal Shelter and Sanctuary Foundation.

Saturday, June 13, 2015

Sabah Quake: PM calls for govt agencies to take action

KUALA LUMPUR: Prime Minister Datuk Seri Najib Razak has called for all government agencies to take appropriate action following another earthquake that hits Ranau this morning. 

"I received news on an earthquake measuring at a magnitude of 5.1 Richter scale that has hit Ranau, Sabah this morning. 

"Government agencies and assets are directed and mobilised to take action," he posted on his Facebook and Twitter accounts. The earthquake hit the area at 2.29am. 

According to the Malaysian Meteorological Department, the quake occurred 25km southeast of Kota Belud, Sabah. 

Tremors were felt in Ranau, Kudat, Beluran, Kota Marudu, Kota Belud, Keningau and Kinabatangan, it added.

NST Online

Friday, June 12, 2015

Penjawat Awam Perlu Beri Tumpuan Kepada Penjagaan Kesihatan - Ali Hamsa

SERDANG, 11 Jun (Bernama) -- Penjawat awam perlu menitikberatkan penjagaan kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat kerana ia menyumbang kepada produktiviti diri dan meningkatkan kualiti hidup, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata faktor kesihatan perlu dititikberatkan sebagai satu daripada faktor utama dalam proses pembangunan negara.

"Taraf kesihatan yang baik bukan sahaja boleh membawa kepada peningkatan taraf sosio ekonomi negara malah dapat meningkatkan mutu dan kualiti hidup rakyat," katanya pada Seminar Kesihatan dan Kecergasan Penjawat Awam Menjamin Produktiviti Negara 2015 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Ali berkata kerajaan juga menyedari bahawa pesara kerajaan merupakan aset negara yang memerlukan perhatian dan penjagaan kebajikan sebagai penghargaan atas sumbangan khidmat bakti mereka ketika dalam perkhidmatan awam.

Melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan, kerajaan memperkenalkan '1Malaysia Civil Service Retirement Support' atau 1Pesara meliputi penyediaan kemudahan laluan pantas R-lane iaitu pendaftaran segera yang dikhaskan kepada pesara, warga emas dan orang kurang upaya di hospital dan klinik kerajaan.

Sehingga April 2015, jumlah premis kesihatan yang telah melaksanakan R-Lane di seluruh negara adalah 109 hospital (81.9 peratus) daripada 133 hospital, 562 klinik kesihatan (59.6 peratus) daripada 943 buah klinik kesihatan, 519 buah klinik pergigian (81.2 peratus) daripada 639 buah klinik pergigian, katanya.

Ali berkata ia memberi gambaran jelas bahawa kerajaan tidak meminggirkan golongan pesara kerajaan.


Bernama Online

Thursday, June 11, 2015

klik imej untuk paparan sebenar

Penerapan NBOS Kurangkan Kos, Hasil Objektif Maksimum - Salleh

Datuk Seri Dr Salleh Tun Said

KOTA KINABALU, 10 Jun (Bernama) -- Penerapan pendekatan Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009 mampu mengurangkan kos dan pada masa sama menghasilkan objektif maksimum untuk rakyat dan negara.

Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Tun Said berkata penerapan NBOS yang lahir berasaskan inovasi nilai dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mampu mengurangkan kos dan menghasilkan objektif pada tahap maksimum untuk manfaat rakyat dan negara.

"Enam NKRA yang digariskan adalah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam.

"Seterusnya, kerajaan Malaysia sejak tahun 2009 mengamalkan NBOS dengan mengaplikasikan empat elemen dalam tadbir urus, iaitu mengurang, menghapus, mewujud dan menambah peluang. Empat elemen ini sekiranya diamalkan dengan baik maka pencapaian dan keberhasilan sektor pentadbiran awam akan terus meningkat," katanya.

Salleh berkata demikian ketika menyampaikan ucap utama sempena Seminar Tadbir Urus Cemerlang dalam Organisasi Edisi Ke-8: Strategi Lautan Biru dalam Tadbir Urus Organisasi, anjuran Universiti Utara Malaysia di sini Selasa malam.

Katanya kesan ketara daripada inovasi nilai yang melahirkan NBOS berkenaan serta penerapannya dalam sistem pentadibran dan pelaksanaan program dan inisiatif kerajaan ialah pemikiran dan budaya kerja dalam silo sendiri kini tidak lagi membelenggu kementerian dan agensi kerajaan.

Sebagai contoh Salleh berkata 80 program berimpak tinggi berjaya dilaksanakan dengan cemerlang di bawah projek NBOS, seperti yang diuar-uarkan Najib pada majlis Hari Terbuka Strategi Lautan Biru Kebangsaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 24 Mei lalu.

Katanya melalui NBOS, pendekatan kementerian dan agensi bukan sahaja kreatif, memberi impak serta menjimatkan tetapi apa yang lebih penting, rakyat memperoleh manfaat.

"Kejayaan NBOS akan memperlihat kedaulatan dan keharmonian negara terus dapat dipelihara bersama. Paling utama, matlamatnya adalah untuk memastikan masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman damai di negara ini tanpa dibelenggu ancaman. Semua ini akan menjadi sia-sia sekiranya masih ada penjawat awam yang terlibat dengan jenayah rasuah," katanya.

Salleh berkata jenayah rasuah mengakibatkan negara kehilangan berbilion ringgit di samping mengganggu kesejahteraan rakyat atau dengan kata lain jenayah rasuah menggugat kedaulatan negara.

Menurutnya beliau percaya, dengan keprihatinan, sokongan serta permuafakatan semua pihak, keselamatan dan keamanan rakyat Malaysia akan terus dapat dipertahankan dan dipertingkat dari semasa ke semasa.

"Insya-Allah NBOS akan menjadi sebahagian daripada platform yang akan menjayakan pembangunan negara sebagaimana digariskan kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11). RMK11 ini merupakan untuk pusingan terakhir sebelum kita muncul negara maju," katanya.


Bernama Online

Wednesday, June 10, 2015

Kerajaan Pertimbang Syor Status 43,861 Pekerja Kontrak Awam - Shahidan

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Kerajaan sedang mempertimbang syor-syor dikemukakan berkenaan status 43,861 pekerja kontrak kerajaan sebelum membuat keputusan berkenaan perkara tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beberapa syor telah dikemukakan kepada kerajaan bagaimanapun sebarang keputusan adalah berdasarkan kedudukan kerajaan dari semasa ke semasa.

"Beberapa syor telah pun dikemukakan kepada kerajaan, dan sudah pasti kerajaan akan pertimbangkan mengenai perkara ini.

"PM (Perdana Menteri) akan umumkan jika ada keputusan nanti," katanya ketika menjawab soalan Datuk Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Wee mahu tahu apakah perancangan kerajaan terhadap status pekerja awam kontrak di setiap kementerian.

Menjawab soalan tambahan Wee mengenai sama ada kerajaan akan mempercepat penyerapan pekerja kontrak tersebut, Shahidan berkata kerajaan tidak meletakkan komitmen untuk menyerap setiap penjawat awam kontrak ke jawatan tetap, sebaliknya kakitangan perlu memohon berdasarkan kelayakan dan pengalaman mereka.

"Namun begitu, pengalaman boleh dijadikan kelebihan dan kerajaan juga sentiasa membantu pegawai lantikan kontrak yang akan menghadiri program temu duga," katanya.

Petugas kontrak juga didedahkan dengan program latihan untuk mempertingkat kompetensi dalam bidang pekerjaan dan sebagai persediaan temu duga ke jawatan tetap, katanya.


Bernama Online

KPP Dan KLF Langkah Alternatif Penjawat Awam Bantu Rakyat

TAWAU, 9 Jun (Bernama) -- Konsep Perkongsian Pintar (KPP) dan Konsep Leap Frog (KLF) perlu menjadi langkah alternatif kepada agensi perkhidmatan awam untuk terus membantu dan memenuhi kehendak rakyat, kata Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Katanya, KPP adalah kerjasama semua agensi melalui aplikasi teknologi maklumat (ICT) yang menghubungkan setiap agensi terlibat, manakala KLF merujuk kepada perubahan pantas pembangunan sesebuah agensi.

"Penjawat awam perlu selangkah ke hadapan kerana kecekapan sistem pengurusan terletak di bahu mereka dalam memenuhi kehendak rakyat," katanya pada Majlis Persidangan Ketua-Ketua Pegawai Maklumat (CIO) Agensi Kerajaan Negeri Sabah (AKNS) 2015 di sini hari ini.

Teks ucapannya disampaikan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk Ismail Mayakob.

Tawfiq, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Apas, berkata program itu berupaya menjadi platform kepada semua peserta yang terlibat menambah ilmu dan pengetahuan mengenai ICT.

Beliau turut menyarankan semua penjawat awam supaya sentiasa berusaha menggandakan usaha mempelajari dan memahami kepentingan ICT bukan sahaja bagi memperkasakan diri sendiri, tetapi juga bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam negara.


Bernama Online

Sunday, June 7, 2015

KPDNKK Johor Terima 1,464 Aduan Sehingga 3 Jun

KOTA TINGGI, 6 Jun (Bernama) -- Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor menerima 1,464 aduan bagi pelbagai perkara berkaitan pengguna melalui pusat gerakan antipencatutan mulai 1 Jan sehingga 3 Jun lalu.

Pengarah KPDNKK negeri Nor Nekman Jaimon berkata dari jumlah itu, sebanyak 40 aduan telah diselesaikan, 147 masih disiasat, 286 melibatkan agensi lain dan 882 aduan ditutup termasuk tiga aduan tidak berasas.

"Sementara itu 17 aduan belum disiasat, 15 dihantar ke dihantar ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, satu lagi diklasifikasikan sebagai pertanyaan, 36 aduan tidak mempunyai maklumat lengkap dan 40 aduan lain dalam pelbagai kategori," kata beliau kepada Bernama selepas majlis penerangan GST di Dewan Terbuka Felda Papan Timur, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, pihaknya cuba menyelesaikan aduan yang dilihat berasas dalam tempoh 24 jam dan sekiranya didapati tidak benar, KPDNKK menganggap ia selesai, kata beliau.

Seramai 200 orang melibatkan kakitangan kerajaan dari 42 Felda Wilayah Johor Baharu dalam kawasan Parlimen Pengerang, Mersing, Kota Tinggi, Tebrau, Kulaijaya dan Tenggara hadir pada program itu.

Program anjuran Angkatan Usahawan Anak Felda (Ausaf) itu dirasmikan oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Pengerang Abdul Wahab Abdul Manan.

Sementara itu, Nor Nekman berkata program kerjasama Felda dan Seranta yang diadakan julung kali itu bertujuan memberi penjelasan yang lebih terperinci berkaitan dengan isu pelaksanaan GST.

Beliau berkata secara umumnya, pelaksanaan GST ada mengakibatkan sesetengah barangan mengalami kenaikan harga dan ada yang tidak berubah harga, manakala ada juga barangan yang turun harganya.

"Jadi kita kena mengakui hakikat sedemikian dan sebagai seorang pengguna, kita kena bijak mengurus selain proaktif terhadap perkara yang berlaku di pasaran terutama jika berlaku kenaikan harga.

"Kenaikan harga (secara berleluasa) merupakan tanda aras kepada salah laku peniaga yang menaikkan untung secara berlebihan," kata Nor Nekman.

Justeru itu, sekiranya ada aduan dan keluhan berkaitan kenaikan harga, masyarakat perlu membuat aduan rasmi kepada KPDNKK atau Jabatan Kastam DiRaja Malaysia untuk tindakan selanjutnya, tambah beliau.

Bernama Online