Friday, July 22, 2016

Penjawat awam bakal bersara antara 23 ditahan SPRM

KANGAR 21 Julai – Seorang penjawat awam negeri ini yang bakal bersara tahun depan merupakan antara 23 individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri dalam operasinya pada Mei lalu.

Pengarahnya, Yaacop Angah berkata, kebanyakan penjawat awam yang ditahan untuk siasatan kes tuntutan palsu itu terdiri daripada kakitangan sokongan berbanding pegawai.

"Apa yang dikesalkan kebanyakan kes tangkapan ini melibatkan penjawat awam yang telah lama berkhidmat tetapi masih gagal mempertahankan integriti mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SPRM negeri di Bangunan Persekutuan di sini, hari ini.

Pada Mei lalu, SPRM negeri menahan 23 penjawat awam termasuk dua wanita kerana membuat tuntutan palsu sepanjang 2015.

Yaacop seterusnya berkata, sejak awal tahun sehingga semalam juga sebanyak enam penjawat awam dan dua orang awam lagi ditahan kerana kes memberi dan menerima rasuah.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati kerana penduduk negeri ini memberikan kerjasama positif dalam usaha menghapuskan ra­suah berdasarkan peningkatan laporan yang diterima.

"Bermula awal tahun, kita menerima sebanyak 111 laporan berhubung kes rasuah berbanding 84 laporan (2014) dan 104 laporan (2015)," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya sentiasa berusaha untuk menyedarkan rakyat supaya melaporkan perbuatan rasuah kepada pihak SPRM agar gejala ini dapat dibanteras.

Utusan Malaysia Online

HANYA KAKITANGAN PROFESIONAL, KRITIKAL DICADANGKAN BERSARA UMUR 62 TAHUN

KUALA LUMPUR: Dianggarkan hanya antara 1,200 hingga 2,000 orang sahaja daripada 25,000 kakitangan perkhidmatan awam yang bersara wajib setiap tahun terbabit dengan cadangan lanjutan usia persaraan kepada 62 tahun.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, berkata pelaksanaan itu juga tidak membabitkan semua perjawatan, cuma bagi jawatan kritikal dan profesional untuk menampung keperluan tenaga pakar dalam negara.

Beliau berkata, kakitangan kumpulan profesional seperti pensyarah, hakim, jurutera dan pakar runding misalnya, memiliki kepakaran tertentu dan pengalaman luas yang masih diperlukan industri bagi meningkatkan ekonomi selain, menampung keperluan semasa.

"Apabila hendak menuju ke negara maju empat tahun lagi, kita memerlukan dasar yang dapat diterima secara sejagat dengan anggaran lima hingga lapan peratus yang akan bersara setiap tahun sahaja dikekalkan ...tidak semua kakitangan awam.

"Kita menggesa kerajaan untuk mengkaji semula sama ada dasar usia persaraan 62 tahun perlu dilaksanakan atau tidak selain, menyemak semula skim gaji penjawat awam yang sudah 15 tahun tidak dikemaskini," katanya pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri CUEPACS, hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Semalam, CUEPACS dalam temu bual program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel yang disiarkan secara langsung mencadangkan kerajaan mewujudkan satu dasar baharu untuk melanjutkan umur persaraan penjawat awam kepada 62 tahun.

Tahun lalu, CUEPACS turut melontarkan cadangan sama namun ditolak kerajaan.

Azih berkata, antara perkara yang perlu diteliti kerajaan termasuk, kemampuan penjawat awam dengan gaji semasa memiliki pendapatan mencukupi untuk membeli rumah, menyediakan pendidikan anak dan bersaing dengan peningkatan 10 kali ganda indeks pengguna dan kos sara.

Di samping itu, CUEPACS turut menyeru kerajaan supaya tidak mengehadkan atau 'mengunci' pengisian jawatan baharu akibat kekosongan persaraan jawatan sebaliknya, membuka peluang kepada graduan muda berkelayakan daripada pelbagai bidang.


"Ketua agensi juga diminta mengambil tindakan drastik dan merancang pelan penggantian enam bulan sebelum kekosongan supaya tidak berlaku kekurangan pekerja," katanya.

Kosmo Online

Saturday, July 16, 2016

Perlantikan YBhg. Dato' Sabariah Hassan sebagai TKPPA(O)


Dr. Rose Lena dilantik KSU baharu KPWKM

Dr. Rose Lena Lazemi

PUTRAJAYA 15 Julai - Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa mengumumkan pelantikan Dr Rose Lena Lazemi sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang baharu menggantikan Datuk Sabariah Hassan.
Dalam kenyataan di sini beliau berkata, pelantikan berkenaan berkuat kuasa hari ini. Dr Rose, 53, merupakan lulusan Ijazah Doktor Falsafah bidang Pengurusan Sumber Manusia dari University of Leeds, United Kingdom (UK), Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Manchester, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda Ekologi dari Universiti Malaya. 

"Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam lebih 27 tahun dan mula menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Ogos 1989," kata Ali. 

Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Penolong Setiausaha Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos serta Ketua Penolong Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). 

Ali yakin pengalaman luas pegawai berkenaan berupaya melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan dan mampu meneruskan visi KPWKM sebagai peneraju utama untuk mencapai kesaksamaan gender, pembangunan keluarga dan masyarakat penyayang sebagai asas pembentukan negara maju. 

Utusan Malaysia Online

Wednesday, July 13, 2016

Perit berurusan dengan LPPSA

SAUDARA PENGARANG,
SEBAGAI seorang penjawat awam, saya berasa sangat tidak berpuas hati dengan cara kerja pihak Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Pengalaman berurusan dengan mereka sangat tidak mencerminkan cara kerja penjawat awam yang sepatutnya.

Untuk makluman, saya telah memulakan proses menjual beli rumah pada hari raya kesembilan tahun lepas dengan pembeli dan peguam. Bagi memudahkan kerja, saya menggunakan peguam yang sama dengan pembeli. Pihak peguam telah menjalankan tugas mereka de­ngan baik dan teliti, tetapi pihak LPPSA pula yang menimbulkan masalah.

Masakan tidak, dokumen yang diserahkan kepada kakitangan di kaunter dan disahkan cop penerimaan dikatakan tidak diterima! Pihak peguam terpaksa menghantar surat kedua, barulah proses berjalan. Namun bagi saya itu ‘igauan’ buruk kerana terpaksa ke Putrajaya sebanyak dua kali semata-mata mahu meminta pihak LPPSA mempercepatkan proses.

Kos perjalanan, penginapan dan masa terpaksa dikorbankan sedangkan bagi saya yang bergaji kecil, semua perbelanjaan ini amat berharga untuk digunakan kepada keluarga. Bayangkan, semua pegawai yang dihubungi gagal mengangkat telefon. Tidak seorang pun yang mahu menjawab panggilan!

Selama hari ini saya hanya boleh berhubung dengan beberapa Pegawai Khidmat Pe­langgan dan maklumat diberikan pula seringkali bercanggah. Kalau ada lima pegawai, lima versi jawapan yang diberikan.

Hasrat saya untuk memperoleh bayaran lebihan penjualan rumah itu sebelum Aidilfitri tahun ini musnah apabila pegawai LPPSA yang telah berjanji untuk menyelesaikan bayaran pada 1 Julai lalu telah pun bercuti.

Saya telah melalui pelbagai masalah disebabkan kelewatan oleh LPPSA sehingga menyebabkan isteri saya menangis kerana akaun gaji dibekukan. Saya sendiri tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan memandangkan tidak ada seorang pun pegawai mereka menjawab telefon.

Saya sangat berharap pihak LPPSA meneliti kembali Stan­dard Of Procedure yang dipraktikkan ketika ini kerana langsung tidak membantu!

INSAN KECEWA
Kuala Lumpur

Utusan Malaysia Online

Skim guru perlu lebih tinggi – TPM

BAGAN DATOH 12 Julai – Skim gaji guru perlu diletakkan lebih tinggi berbanding penjawat awam yang lain bagi mengiktiraf peranan golongan tersebut mendidik ge­nerasi pembina negara bangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun status sosial yang dimainkan golongan itu semakin berubah mengikut persepsi, namun peranan mereka mendidik generasi pewaris masih utuh sehingga kini.

Justeru Ahmad Zahid berkata, beliau amat berbangga jika ada usaha untuk menjadikan skim gaji golongan pendidik ini di­tingkatkan pada tahap tertinggi dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukan sosial mereka.

Menurutnya, tanpa guru, anggota masyarakat ketika ini tidak akan berada pada tahap mereka sekarang; tanpa guru, negara tidak akan maju sehingga sekarang; tanpa guru, siapalah kita; tetapi itu hanya kata mulut ke mulut atau kata-kata indah.

“Namun pada hakikatnya adakah nasib guru sebagai pembina negara bangsa ini lebih baik, soal kebajikan guru dapat pembelaan, bebanan kerja guru telah diambil kira?

“Kita harus kembalikan ke­du­dukan guru di persada ma­sya­ra­kat sebagai pemangkin pembentukan golongan bersahsiah tinggi, perbaiki lagi kedudukan mereka, beri mereka imbuhan yang lebih baik dan peluang semua kenaikan pangkat. Inilah yang sepatutnya,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata demikian ketika merasmikan sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Hilir Perak 2016 di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pengarah Pendidikan Negeri, Rozi Puteh Ismail dan Pengarah Pendidikan Daerah Hilir Perak, Sulaiman Samsudin.

Menurut Ahmad Zahid, guru merupakan manusia terpilih yang seharusnya mendapat perhatian dan penghargaan yang sewajar­nya berikutan jasa dan peranan mereka secara berterusan dalam proses pendidikan.

Malah katanya, profesion perguruan juga kini bukan lagi dianggap profesion kedua atau ketiga, sebaliknya semakin menjadi keutamaan dan pilihan para graduan sebaik menamatkan pengajian.

“Pada masa yang sama saya harap, guru dapat berperanan melahirkan generasi muda yang bukan sahaja mempunyai kelulusan akademik yang tinggi tetapi juga akhlak yang tinggi. Keseimbangan dalam kedua-duanya.

“Ini kerana kebanyakan kita hari ini hanya melihat dalam aspek fizikal iaitu tentang apakah yang akan menggembirakan seseorang. Bagaimanapun soal makanan rohani tidak diendahkan sehingga menyebabkan lahir manusia yang tidak tahu bersyukur,” katanya.

Utusan Malaysia Online

Thursday, July 7, 2016

Ingat anggota beruniform

SAUDARA PENGARANG,

MINGGU lalu isu cuti raya ketiga menggembirakan ramai kakitangan awam kerana mendapat pelepasan tetapi kakitangan swasta pula mungkin rasa tertinggal kerana tidak terlibat sama.

Bagaimanapun, janganlah ada rasa iri hati dan kecewa kerana bukan semua penjawat awam bercuti sempena Aidilfitri tahun ini.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, ramai dalam kalangan polis, tentera, bomba, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pengangkutan Jalan dan kakitangan kesihatan seperti doktor, jururawat, kakitangan kecemasan serta lain-lain anggota beruniform terpaksa bekerja semasa hari raya.

Mereka terpaksa berkorban masa beraya bersama keluarga supaya rakyat negara ini dapat menyambut lebaran dengan aman dan selesa.

Saya sebagai seorang anak penjawat awam yang hampir setiap tahun bekerja pada hari raya tidak pernah menjadikan tiada cuti sebagai satu alasan untuk tidak menyambut hari raya.

Kami anak-anak yang bekerja di sektor swasta sudah biasa beraya 1 Syawal di tempat bapa bekerja kerana apa yang penting adalah meraikan hari lebaran bersama-sama walaupun cuma untuk seketika.

Dekat atau jauh, cuti panjang atau pendek, yang penting adalah meluangkan masa berkualiti bersama keluarga pada hari raya.

Apa guna cuti panjang di kampung halaman jika cuma makan dan tidur sedangkan cuti yang pendek dihabiskan bersama lebih meriah dan bermakna.

Akhir kata, janganlah kita terlalu sibuk mengira bilangan hari cuti sehingga lupa bagaimana merancang untuk menghabiskan masa yang ada bersama keluarga. Selamat hari raya, maaf zahir batin.

ANAK MANJA
Kuala Lumpur

Utusan Malaysia Online

Wednesday, July 6, 2016

Berita@INTURA Jun 2016

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar





Berita@INTURA Jun 2016

Sila klik imej untuk paparan sebenar







Monday, July 4, 2016

10 Julai cuti peristiwa penjawat awam Kedah

ALOR SETAR 3 Julai – Kerajaan negeri mengumumkan tarikh 10 Julai ini sebagai cuti peristiwa bagi penjawat awam negeri sekiranya Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 6 Julai.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, keputusan berkenaan dibuat pada mesyua­rat Exco yang dipengerusikan beliau di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

“Keputusan mesyuarat Exco bersetuju untuk mengumumkan iaitu pada 10 Julai ini diisytiharkan sebagai cuti peristiwa seperti negeri-ne­geri lain.

“Ia bagi membolehkan rakyat Kedah yang balik bercuti dari tempat kerja masing-masing di negeri lain untuk berkesempatan bersama anggota keluarga. Pada hari Ahad, iaitu 10 Julai itu bolehlah mereka balik secara beransur-ansur ke tempat kerja mereka dengan selamat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Katanya, ia sebagai mengikut langkah negeri lain seperti Johor dan Terengganu yang turut menggantikan cuti khas kerajaan kepada penjawat awam pada 8 Julai kepada 10 Julai.

Ini berikutan 8 Julai jatuh pada hari Jumaat, iaitu hari cuti hujung minggu di Kedah.

Bernama Online

Salam Aidilfitri


Saturday, July 2, 2016

Berkhidmat sepenuh hati : Nasihat Raja Perlis kepada pengarah, ketua jabatan

TUANKU SYED SIRAJUDDIN PUTRA JAMALULLAIL dan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan bergambar dengan wakil institusi pengajian Islam di Perlis yang menerima sumbangan MAIPs sempena Majlis Iftar di Istana Arau, Perlis, malam semalam. 
KANGAR 1 Julai - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalul­lail bertitah kepada pengarah dan ketua-ketua jabatan agar berkhidmat dengan sepenuh hati dan menganggap Perlis sebagai negeri kelahiran sendiri sepanjang bertugas di sini.

Baginda bertitah, perkhidmatan yang cemerlang di negeri ini boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk golongan itu terus maju dalam kerjaya pada masa hadapan.

“Ramai pegawai yang bertugas di Perlis sebelum ini sudah memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan Persekutuan. Beta anggap ini peluang untuk mereka dinaikkan pangkat.

“Bermastautinlah di sini ke­rana dengan itu ada banyak masa untuk turun padang terutama semasa tidak bertugas sebagai contoh membawa keluarga berjalan-jalan di hujung minggu.

“Kalau berada di luar, kita tidak mempunyai masa untuk melihat pembangunan dan kelemahan negeri ini, malah sukar dihubungi jika berlaku kecemasan.

“Perlis merupakan negeri yang kecil dan gunakan peluang ini untuk merapatkan hubungan antara ketua-ketua jabatan yang boleh mempercepatkan sebarang pro­ses tanpa surat-menyurat,” titah ba­ginda.

Baginda bertitah demikian semasa majlis menghadap pengarah dan ketua-ketua jabatan baharu selepas berbuka puasa, solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah di Istana Arau di sini malam tadi.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.
Tuanku Syed Sirajuddin seterusnya mahu para pegawai kanan ‘mengejutkan’ kakitangan bawahnya yang leka semasa berkhidmat di negeri ini.

“Lipat gandakan usaha untuk bersama-sama negeri lain mencapai Wawasan 2020 tidak lama lagi. Tak guna cakap negeri maju tetapi rakyat masih buang sampah di tepi jalan,” titah baginda.

Terdahulu, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyampaikan sumbangan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM2.57 juta kepada 16 institusi pendidikan Islam di negeri ini bagi menampung pembiayaan pengurusan.

Antara penerimanya adalah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) berjumlah RM500,000; Maahad Al-Tarbiyah Al-Islamiyah (RM400,000); Sekolah Agama Al-Islahiyah Menengah (SAIM), Behor Mali (RM300,000) dan Institusi Pengajian Tinggi Islam Perlis (RM250,000).

Utusan Malaysia Online