SEBAGAI seorang penjawat awam, saya berasa sangat tidak berpuas hati dengan cara kerja pihak Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Pengalaman berurusan dengan mereka sangat tidak mencerminkan cara kerja penjawat awam yang sepatutnya.

Untuk makluman, saya telah memulakan proses menjual beli rumah pada hari raya kesembilan tahun lepas dengan pembeli dan peguam. Bagi memudahkan kerja, saya menggunakan peguam yang sama dengan pembeli. Pihak peguam telah menjalankan tugas mereka de­ngan baik dan teliti, tetapi pihak LPPSA pula yang menimbulkan masalah.

Masakan tidak, dokumen yang diserahkan kepada kakitangan di kaunter dan disahkan cop penerimaan dikatakan tidak diterima! Pihak peguam terpaksa menghantar surat kedua, barulah proses berjalan. Namun bagi saya itu ‘igauan’ buruk kerana terpaksa ke Putrajaya sebanyak dua kali semata-mata mahu meminta pihak LPPSA mempercepatkan proses.

Kos perjalanan, penginapan dan masa terpaksa dikorbankan sedangkan bagi saya yang bergaji kecil, semua perbelanjaan ini amat berharga untuk digunakan kepada keluarga. Bayangkan, semua pegawai yang dihubungi gagal mengangkat telefon. Tidak seorang pun yang mahu menjawab panggilan!

Selama hari ini saya hanya boleh berhubung dengan beberapa Pegawai Khidmat Pe­langgan dan maklumat diberikan pula seringkali bercanggah. Kalau ada lima pegawai, lima versi jawapan yang diberikan.

Hasrat saya untuk memperoleh bayaran lebihan penjualan rumah itu sebelum Aidilfitri tahun ini musnah apabila pegawai LPPSA yang telah berjanji untuk menyelesaikan bayaran pada 1 Julai lalu telah pun bercuti.

Saya telah melalui pelbagai masalah disebabkan kelewatan oleh LPPSA sehingga menyebabkan isteri saya menangis kerana akaun gaji dibekukan. Saya sendiri tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan memandangkan tidak ada seorang pun pegawai mereka menjawab telefon.

Saya sangat berharap pihak LPPSA meneliti kembali Stan­dard Of Procedure yang dipraktikkan ketika ini kerana langsung tidak membantu!

INSAN KECEWA
Kuala Lumpur

Utusan Malaysia Online