Pengarahnya, Yaacop Angah berkata, kebanyakan penjawat awam yang ditahan untuk siasatan kes tuntutan palsu itu terdiri daripada kakitangan sokongan berbanding pegawai.

"Apa yang dikesalkan kebanyakan kes tangkapan ini melibatkan penjawat awam yang telah lama berkhidmat tetapi masih gagal mempertahankan integriti mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SPRM negeri di Bangunan Persekutuan di sini, hari ini.

Pada Mei lalu, SPRM negeri menahan 23 penjawat awam termasuk dua wanita kerana membuat tuntutan palsu sepanjang 2015.

Yaacop seterusnya berkata, sejak awal tahun sehingga semalam juga sebanyak enam penjawat awam dan dua orang awam lagi ditahan kerana kes memberi dan menerima rasuah.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati kerana penduduk negeri ini memberikan kerjasama positif dalam usaha menghapuskan ra­suah berdasarkan peningkatan laporan yang diterima.

"Bermula awal tahun, kita menerima sebanyak 111 laporan berhubung kes rasuah berbanding 84 laporan (2014) dan 104 laporan (2015)," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya sentiasa berusaha untuk menyedarkan rakyat supaya melaporkan perbuatan rasuah kepada pihak SPRM agar gejala ini dapat dibanteras.

Utusan Malaysia Online