MINGGU lalu isu cuti raya ketiga menggembirakan ramai kakitangan awam kerana mendapat pelepasan tetapi kakitangan swasta pula mungkin rasa tertinggal kerana tidak terlibat sama.

Bagaimanapun, janganlah ada rasa iri hati dan kecewa kerana bukan semua penjawat awam bercuti sempena Aidilfitri tahun ini.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, ramai dalam kalangan polis, tentera, bomba, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pengangkutan Jalan dan kakitangan kesihatan seperti doktor, jururawat, kakitangan kecemasan serta lain-lain anggota beruniform terpaksa bekerja semasa hari raya.

Mereka terpaksa berkorban masa beraya bersama keluarga supaya rakyat negara ini dapat menyambut lebaran dengan aman dan selesa.

Saya sebagai seorang anak penjawat awam yang hampir setiap tahun bekerja pada hari raya tidak pernah menjadikan tiada cuti sebagai satu alasan untuk tidak menyambut hari raya.

Kami anak-anak yang bekerja di sektor swasta sudah biasa beraya 1 Syawal di tempat bapa bekerja kerana apa yang penting adalah meraikan hari lebaran bersama-sama walaupun cuma untuk seketika.

Dekat atau jauh, cuti panjang atau pendek, yang penting adalah meluangkan masa berkualiti bersama keluarga pada hari raya.

Apa guna cuti panjang di kampung halaman jika cuma makan dan tidur sedangkan cuti yang pendek dihabiskan bersama lebih meriah dan bermakna.

Akhir kata, janganlah kita terlalu sibuk mengira bilangan hari cuti sehingga lupa bagaimana merancang untuk menghabiskan masa yang ada bersama keluarga. Selamat hari raya, maaf zahir batin.

ANAK MANJA
Kuala Lumpur

Utusan Malaysia Online