Baginda bertitah, perkhidmatan yang cemerlang di negeri ini boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk golongan itu terus maju dalam kerjaya pada masa hadapan.

“Ramai pegawai yang bertugas di Perlis sebelum ini sudah memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan Persekutuan. Beta anggap ini peluang untuk mereka dinaikkan pangkat.

“Bermastautinlah di sini ke­rana dengan itu ada banyak masa untuk turun padang terutama semasa tidak bertugas sebagai contoh membawa keluarga berjalan-jalan di hujung minggu.

“Kalau berada di luar, kita tidak mempunyai masa untuk melihat pembangunan dan kelemahan negeri ini, malah sukar dihubungi jika berlaku kecemasan.

“Perlis merupakan negeri yang kecil dan gunakan peluang ini untuk merapatkan hubungan antara ketua-ketua jabatan yang boleh mempercepatkan sebarang pro­ses tanpa surat-menyurat,” titah ba­ginda.

Baginda bertitah demikian semasa majlis menghadap pengarah dan ketua-ketua jabatan baharu selepas berbuka puasa, solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah di Istana Arau di sini malam tadi.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.
Tuanku Syed Sirajuddin seterusnya mahu para pegawai kanan ‘mengejutkan’ kakitangan bawahnya yang leka semasa berkhidmat di negeri ini.

“Lipat gandakan usaha untuk bersama-sama negeri lain mencapai Wawasan 2020 tidak lama lagi. Tak guna cakap negeri maju tetapi rakyat masih buang sampah di tepi jalan,” titah baginda.

Terdahulu, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyampaikan sumbangan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM2.57 juta kepada 16 institusi pendidikan Islam di negeri ini bagi menampung pembiayaan pengurusan.

Antara penerimanya adalah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) berjumlah RM500,000; Maahad Al-Tarbiyah Al-Islamiyah (RM400,000); Sekolah Agama Al-Islahiyah Menengah (SAIM), Behor Mali (RM300,000) dan Institusi Pengajian Tinggi Islam Perlis (RM250,000).