BAGAN DATOH 12 Julai – Skim gaji guru perlu diletakkan lebih tinggi berbanding penjawat awam yang lain bagi mengiktiraf peranan golongan tersebut mendidik generasi pembina negara bangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun status sosial yang dimainkan golongan itu semakin berubah mengikut persepsi, namun peranan mereka mendidik generasi pewaris masih utuh sehingga kini.
Justeru Ahmad Zahid berkata, beliau amat berbangga jika ada usaha untuk menjadikan skim gaji golongan pendidik ini ditingkatkan pada tahap tertinggi dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukan sosial mereka.
Menurutnya, tanpa guru, anggota masyarakat ketika ini tidak akan berada pada tahap mereka sekarang; tanpa guru, negara tidak akan maju sehingga sekarang; tanpa guru, siapalah kita; tetapi itu hanya kata mulut ke mulut atau kata-kata indah.
“Namun pada hakikatnya adakah nasib guru sebagai pembina negara bangsa ini lebih baik, soal kebajikan guru dapat pembelaan, bebanan kerja guru telah diambil kira?
“Kita harus kembalikan kedudukan guru di persada masyarakat sebagai pemangkin pembentukan golongan bersahsiah tinggi, perbaiki lagi kedudukan mereka, beri mereka imbuhan yang lebih baik dan peluang semua kenaikan pangkat. Inilah yang sepatutnya,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata demikian ketika merasmikan sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Hilir Perak 2016 di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pengarah Pendidikan Negeri, Rozi Puteh Ismail dan Pengarah Pendidikan Daerah Hilir Perak, Sulaiman Samsudin.
Menurut Ahmad Zahid, guru merupakan manusia terpilih yang seharusnya mendapat perhatian dan penghargaan yang sewajarnya berikutan jasa dan peranan mereka secara berterusan dalam proses pendidikan.
Malah katanya, profesion perguruan juga kini bukan lagi dianggap profesion kedua atau ketiga, sebaliknya semakin menjadi keutamaan dan pilihan para graduan sebaik menamatkan pengajian.
“Pada masa yang sama saya harap, guru dapat berperanan melahirkan generasi muda yang bukan sahaja mempunyai kelulusan akademik yang tinggi tetapi juga akhlak yang tinggi. Keseimbangan dalam kedua-duanya.
“Ini kerana kebanyakan kita hari ini hanya melihat dalam aspek fizikal iaitu tentang apakah yang akan menggembirakan seseorang. Bagaimanapun soal makanan rohani tidak diendahkan sehingga menyebabkan lahir manusia yang tidak tahu bersyukur,” katanya.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment