Monday, February 1, 2010

40 tahun rekod perkhidmatan cemerlang Ghazali Shafie

Oleh Deva Mohd. Ridzam

Hanya beberapa orang sahaja di negara ini yang mampu menyaingi rekod cemerlang Tun Ghazali Shafie dalam perkhidmatan awam.

Ghazali yang sememangnya tiada galang ganti dilahirkan di Kuala Lipis dan menyertai perkhidmatan awam pada 1944. Tidak lama kemudian beliau dilantik sebagai Pegawai Daerah di kampung halamannya.

Selepas menamatkan pelajaran di Kolej Raffles di Singapura beliau melanjutkan pengajian di Kolej Universiti of Wales, Aberstwyth dan memperoleh ijazah undang-undang.

Kemudian beliau memperoleh sarjana dalam pengajian antarabangsa dari Universiti London.
Bermula dari bawah, beliau terus mencipta kejayaan demi kejayaan termasuklah bertanggungjawab memperkasa dasar luar negara ke tahap sekarang selain memainkan peranan penting dalam memperkasakan negara bangsa. Ini termasuklah penglibatan beliau dalam penubuhan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang pertama Tunku Abdul Rahman.

Beliau terus berkhidmat dengan cemerlang di bawah tiga perdana menteri seterusnya.
Kehebatan beliau ini dibuktikan dengan pelbagai jawatan yang disandang ketika berkhidmat. Antaranya sebagai orang paling lama memegang jawatan Setiausaha Tetap Kementerian Luar, Senator, Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penerangan, Menteri Dalam Negeri dan akhir sekali Menteri Luar.

Di bawah kepimpinan Tunku, beliau membantu memperkasakan dasar luar negara seperti mana sumbangan besarnya dalam penubuhan Malaysia. Selain itu beliau terlibat dalam penubuhan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) serta Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan pelbagai lagi.

Beliau juga antara mereka yang terlibat dalam penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam banyak perkara beliau bukan sahaja terlibat dalam mencipta sejarah negara tetapi terlibat secara aktif dalam melaksanakan perubahan. Untuk lebih memahami negara ini adalah penting kita menyelami beliau secara lebih mendalam.

Buku yang ditulisnya pada 1998 bertajuk "Memoir Ghazali Shafie Dalam Penubuhan Malaysia" yang diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan sebuah buku yang wajib dibaca.

Sebagai Setiausaha Tetap di Kementerian Luar yang juga Ketua Perisikan, beliau memainkan peranan penting dalam menamatkan Konfrontasi Malaysia-Indonesia. Beliau bekerjasama rapat dengan pemimpin Order Baru di Indonesia seperti Ali Murtopo dan Benny Murdani dalam usaha untuk menyingkir Presiden Sukarno serta membaik pulih hubungan antara dua negara berjiran.

Sebagai Menteri Dalam Negeri (1973-1981) beliau turut memainkan peranan dalam usaha gencatan senjata oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Sebelum itu ketika beliau menjadi Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penerangan (1971-1973) beliau telah membawa perubahan besar terhadap Radio dan Televisyen Malaysia.

Selepas peristiwa 13 Mei 1969, beliau yang menganggotai Majlis Gerakan Negara yang diketuai oleh Tun Abdul Razak telah membantu usaha untuk menyatukan semula negara ini. Bersama dengan beberapa orang yang terpilih menganggotai Majlis Perundingan Kebangsaan (NCC) beliau turut terlibat dalam mendraf prinsip Rukun Negara serta merumuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Beliau juga merupakan tenaga utama dalam pasukan yang dikuasai oleh rakyat Malaysia di bawah Tunku sebagai Setiausaha Agung OIC dalam menjadi pertubuhan itu satu kenyataan dengan menubuhkan struktur organisasi dan piagamnya.

Sebagai Setiausaha Tetap (1959-1970) dan kemudian Menteri di Kementerian Luar (1981-1984) beliau sememangnya dikenali sebagai seorang yang mampu melakukan dan menggunakan apa sahaja untuk menjayakan matlamat negara. Ketika zaman beliau, negara ini berjaya mencapai banyak kejayaan membanggakan yang membuatkan Malaysia dihormati.

Beliau juga sangat dikenali sebagai seorang yang mempunyai minat yang mendalam untuk menjayakan masyarakat dunia yang bebas dan mampu menentukan nasibnya sendiri. Ghazali telah berusaha keras untuk memastikan Malaysia terlibat dengan serius dalam Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada 1960-an serta menjadi jaguh dalam memperjuangkan dasar anti aparteid yang diamalkan oleh Afrika Selatan.

Sebagai Menteri Luar beliau berjaya menganjurkan Persidangan Asia Pasifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Persoalan Palestin di Kuala Lumpur pada 1983. Beliau juga sangat percaya orang Islam di seluruh dunia perlu mengutamakan pendidikan kerana jika tidak mereka akan terus ketinggalan, mundur serta terpinggir.

Oleh itu beliau telah menjelajah banyak negara Islam untuk menerangkan serta mendapatkan sokongan mengenai pentingnya pendidikan untuk pembangunan dunia Islam. Oleh itu Ghazali telah mendapat sokongan padu dalam penubuhan UIAM yang dibiayai oleh OIC yang kemudiannya di tempatkan di Malaysia.

Melalui penubuhan UIAM ia bukanlah bermaksud untuk menjadi sebuah institusi teologi tetapi melahirkan Muslim profesional seperti doktor, ahli ekonomi, peguam, arkitek dan sebagainya yang akan berpegang teguh kepada ajaran dan etika Islam.

Bagaimana Ghazali lebih dikenali dengan sumbangan besarnya dalam menjayakan dasar luar dan diplomasi bukan sahaja dalam bentuk kenyataan tetapi juga dalam pemikiran strategik.
Dalam ucapan perpisahan sebagai Menteri Luar pada 1999 kepada pegawai Wisma Putra, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyatakan hanya satu baris ayat yang diberikan oleh Ghazali apabila diminta nasihat tentang dasar luar negara. "Ia perlu dipercayai".
Ghazali adalah umpama orang yang bertanggungjawab menjadikan Kementerian Luar dan pegawainya seperti yang ada sekarang dalam melaksana dan memberi sumbangan besar kepada negara. Dalam erti kata lain beliau umpama guru kepada diplomat terawal negara termasuklah kepada sesetengah diplomat ASEAN. Malah mereka adalah graduan dalam "Sekolah Diplomasi dan Perhubungan Antarabangsa Ghazali Shafie".

Diplomat Malaysia di bawah kepimpinannya telah dibentuk sebagai seorang realis. Beliau juga sangat menekankan supaya diplomat dan lain-lain pegawai kerajaan perlu meluaskan pembacaan, sentiasa teliti, menumpukan perhatian serta petah berkata-kata.

Namun paling penting mereka perlu mempertahan kepentingan negara. Untuk berjaya, beliau sentiasa meminta para diplomat supaya berani, menguasai bahasa serta mempertingkatkan pengetahuan sebanyak yang boleh. Dalam koleksi ucapannya yang dikeluarkan dalam buku terbaru, Number One Wisma Putra, beliau telah menggariskan supaya diplomat perlu bijak, sentiasa membuat analisis, sentiasa tepat dan terkini dan perlu sentiasa berani.

Para pegawai perlu sentiasa berdikari dan berkemampuan memenangi setiap perdebatan tanpa perlu bertengkar. Ghazali sentiasa mahukan nama Malaysia memainkan peranan penting dan berlainan di peringkat antarabangsa.

Itulah yang dilakukan beliau dengan menaikkan nama Malaysia dan ASEAN melalui kuasa intelek dan strategiknya. Malah para pegawainya akan sentiasa mengingati kesungguhan beliau menjalankan tugas dengan lebih banyak berada di kawasan dan majlis berbanding orang lain dengan keupayaan merungkai isu yang kompleks secara jelas dan berasas.

Mungkin untuk permulaan, kerajaan dapat mengubah nama Institut Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa (IDFR) kepada Sekolah Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa Ghazali Shafie. Ia perlu dijadikan sebuah institusi akademik yang bebas di mana tokoh-tokoh besar dalam negara dan serantau malah dunia boleh menjadi pengajar, belajar dan membuat kajian.

Ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk menyuntik semangat baru di Wisma Putra. Para diplomat perlu dilatih dengan teliti memandangkan tugas mereka adalah untuk menunjukkan imej yang baik mengenai Malaysia di luar negara.

Datuk Deva Mohd. Ridzam ialah bekas Duta Malaysia ke Kemboja, Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah.

Utusan Online

No comments: