Tuesday, February 16, 2010

Saran Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan Dirombak

MENDAPATKAN bekalan ubat daripada kaunter beberapa hospital dan klinik kerajaan di Lembah Klang sangat menyusahkan. Mula-mula kena berbaris panjang, menunggu lama, bila sampai giliran tidak dapat ubat yang diharapkan. Ubat yang diberi tidak cukup kualitinya.

Katanya stok tidak ada, tunggu minggu depan, minggu depan telefon masih tidak ada. Kita tanya bila sampai, jawabnya tunggu sahajalah.

Saya tidak mahu sebut nama hospital dan klinik tersebut nanti kakitangan di situ kena marah dengan bos pula. Sebabnya bos hanya tahu marah sahaja, tetapi tidak selesaikan atau buat tindakan menyelesaikannya untuk jangka panjang.

Jadi yang salah siapa, yang bertanggungjawab siapa pula.

Kalau tidak silap saya sudah beberapa kali orang tulis dalam ruangan Forum ini, tetapi tidak ada perubahan ketara yang dapat dilihat.

Di ruang hadapan kaunter farmasi ditulis dengan besar perkataan Piagam Pelanggan, pesakit akan dilayan dalam tempoh 30 minit. Kalau kita amati betul-betul mana ada masa dalam 30 minit.

Lebih ramai pesakit yang dilayan melebihi 30 minit. 30 minit itu hanya mainan di atas kertas sahaja.

Mungkin itu perhiasan sahaja. Ubat yang diberi pula tidak cukup. Saya tidak tahu bagaimana mereka mengira. Lepas itu disuruh tunggu minggu depan. Kalau minggu depan ada, tak apa juga. Ini minggu depan pun tidak ada ubat itu.

Sebagai rakyat biasa, saya ingin tahu bagaimana Kementerian Kesihatan melihat perkara ini. Dasar dan polisi yang ada itu tidakkah disemak dari semasa ke semasa?

Orang yang menyediakan dasar di bahagian farmasi, di peringkat Kementerian masihkah orang yang sama dari dahulu?

Kalau masih orang yang sama mengapa tidak diganti dengan orang lain supaya ada idea baru.

Orang baru mungkin boleh diambil daripada negeri, daerah atau institusi bagi mengganti orang yang sudah lama di Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan.

Ini bertujuan, supaya ada idea baru dibawa masuk ke Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan bagi menjamin kemajuan perkhidmatan di masa hadapan. Saya rasa ramai cerdik pandai bidang farmasi yang ada di peringkat negeri, daerah ataupun institusi. Pilih yang ada pengalaman dan ilmu yang tinggi. Sebagai contoh individu Farmasi yang berkelulusan PhD.

Mengapa mereka ini tidak diberi peluang mentadbir Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan. Saya rasa jumlah mereka ini ramai. Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan adalah satu bidang teknikal, seharusnya pengarah-pengarahnya biarlah yang tinggi ilmunya.Kerajaan telah melatih ramai pegawai Farmasi mendapatkan PhD. Mengapa mereka ini tidak digunakan dengan sepenuhnya.

Apabila kerumitan timbul untuk mendapatkan ubat di hospital dan klinik kesihatan ini memberi peluang kepada penjual ubat haram yang berleluasa pada masa ini untuk mengaut keuntungan.

Ditambah pula dengan bahagian kuatkuasa ubat yang lemah maka keadaan menjadi lebih teruk lagi. Walau apa alasan yang diberi inilah urutan rantai isu tersebut.Saranan saya supaya ada individu baru menerajui semua bahagian penting dalam Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia supaya ada pandangan kedua (second opinion) demi memajukan serta memberikan perkhidmatan farmasi kepada orang ramai.

DR. ALIAS ASHRAF
Petaling Jaya

Utusan Online

No comments: