Friday, February 5, 2010

Pertimbang kenaikan gaji tentera

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Kerajaan akan memberi perhatian khusus terhadap kenaikan gaji anggota tentera sebaik sahaja ekonomi negara pulih sepenuhnya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, permohonan bagi kenaikan gaji itu telah pun dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dipertimbangkan.

"JPA sedang mengkaji dengan teliti permohonan itu dan saya dimaklumkan jika ekonomi mula memperlihatkan pemulihan sepenuhnya, kenaikan gaji tentera akan diberi pertimbangan khusus," katanya selepas merasmikan perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah timbalannya, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah; Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Zulkifeli Mohd. Zin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pihak tentera juga bakal menerima kenaikan gaji apabila 98,747 anggota polis menikmati pelarasan kenaikan gaji dan elaun baru berkuat kuasa 1 Januari 2009.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien ketika mengumumkan berita baik buat anggota polis itu berkata, kenaikan antara RM1,500 hingga RM6,000 tersebut membabitkan anggota berpangkat dari Sub Inspektor hingga ke Timbalan Ketua Polis Negara.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, anggota tentera yang berpangkat Mejar dan Leftenan Kolonel telah menikmati kenaikan kadar imbuhan tetap sehingga RM450 sebulan juga berkuat kuasa 1 Januari 2009.

Terdahulu semasa berucap merasmikan perhimpunan bulanan, beliau memberitahu, sehingga 14 Januari lalu, perbelanjaan keseluruhan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi Kementerian Pertahanan adalah sebanyak RM14.7 bilion.

Utusan Online

No comments: