TERIMA kasih kepada kerajaan kerana terus mengiktiraf sumbangan pegawai dan anggota polis kepada negara melalui kenaikan gaji serta imbuhan setimpal.
Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan keharmonian dan kestabilan negara terus terjaga di samping berusaha mempertingkatkan lagi tahap integriti kepolisan melalui kenaikan gaji lebih tinggi, tidak lama lagi.
Turut menarik perhatian saya ialah keprihatinan PDRM yang mengiktiraf tahap kelulusan akademik seseorang anggota polis dengan memberi kadar tangga gaji berbeza kepada anggota memiliki kelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), diploma dan ijazah berbanding anggota yang tiada kelulusan itu.
Jika benar ini dilaksanakan, ia secara tidak langsung menggalakkan budaya berlumba-lumba menuntut ilmu di kalangan anggota seterusnya membantu mempertingkatkan kualiti diri dalam menyumbangkan idea membina anggota berkaitan ke arah kemajuan jabatan.
Apa yang diharapkan, pengiktirafan ini akan diperluaskan kepada semua jabatan atau agensi kerajaan lain bersama berganding bahu memajukan negara.
Saya berpendapat, elaun khas wajar dipertimbangkan kepada kakitangan kumpulan sokongan yang mempunyai kelebihan mengikut pencapaian akademik yang terpaksa berpuas hati memegang jawatan pada peringkat kumpulan sokongan saja berikutan kekosongan jawatan dalam kumpulan pengurusan atau profesional adalah terhad.
Contohnya, penghargaan yang dicadangkan adalah melalui pemberian elaun kelulusan akademik sebanyak RM300 sebulan untuk pemegang ijazah sarjana, pemegang ijazah sarjana muda (RM200) dan pemegang diploma (RM100) atau lain-lain kadar yang difikirkan sesuai.
Cadangan dikemukakan dengan mengambil kira tahap profesionalisme, sumbangan idea, ilmu pengetahuan dan kemahiran bekerja, mentaliti dan keyakinan diri, pendekatan dalam menangani masalah dan lain-lain kepakaran yang disumbangkan anggota atau kakitangan berkelulusan tinggi terhadap organisasi atau jabatan masing-masing.
Melalui pendekatan ini, ia mampu mempertingkatkan motivasi dan produktiviti kakitangan terbabit, memartabatkan nilai diri seseorang yang berkelulusan walaupun berjawatan tidak setara dengan kelulusan dimiliki, seterusnya membantu mempertingkatkan kualiti perkhidmatan anggota itu secara berterusan.
Pemberian imbuhan sebegini juga boleh mengelakkan rasa tertekan, kebosanan dan lompat kerja di kalangan kakitangan selain membantu melunturkan budaya memilih kerja mengikut kelulusan akademik di kalangan siswazah menganggur.
Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment