Wednesday, February 3, 2010

Jawab dengan berkesan aduan rakyat

JOHOR BAHRU 2 Feb. - Kakitangan awam negeri ini diminta agar tidak lagi menggunakan perkataan 'akan dikaji', 'kami masih semak' dan 'kami masih menunggu keputusan' sebagai jawapan kepada rakyat yang berurusan dengan jabatan kerajaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Abd. Latiff Yusof berkata, ini kerana jawapan seperti itu tidak memberi maklum balas yang berkesan kepada rakyat sebagai pelanggan.
"Cabaran besar dalam perkhidmatan awam hari ini ialah memberi maklum balas dengan cepat, cekap dan berkesan.

"Kita tidak boleh lagi menggunakan jawapan-jawapan seperti 'akan dikaji,' kami akan semak' atau 'kami masih menunggu keputusan'," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perkhidmatan Awam Johor yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di Pusat Islam Iskandar di sini semalam.

Abd. Latif berkata, penjawat awam perlu berperanan lebih cekap, berkesan, responsif dan berani berubah bagi melaksanakan pembaharuan agar dapat memenuhi kehendak masyarakat.
"Ini kerana kepuasan hati pelanggan dan rakyat merupakan penanda aras muktamad bagi penjawat awam," jelasnya.

Justeru, beliau berkata, penjawat awam perlu memberi perhatian terhadap semua aduan sama ada melalui akhbar, surat, emel, telefon dan secara terus untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan.

Menurutnya, mereka juga perlu menerima sebarang teguran dengan hati terbuka kerana aduan berkenaan dapat membantu mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan yang ada.

Beliau berkata, kakitangan awam juga digalakkan menguasai kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk menambah nilai dalam memberikan perkhidmatan.

"Penggunaan ICT bukan sahaja boleh dilakukan di luar waktu pejabat malah boleh digunakan agensi kerajaan untuk membuat keputusan tanpa perlu berada di pejabat tanpa mengira masa," katanya.

Abd. Latif berkata, ia penting bagi meningkatkan tahap perkhidmatan sejajar dengan perkembangan semasa.

Utusan Online

No comments: