PUTRAJAYA, 22 Feb (Bernama) -- Pergerakan Puteri Umno kesal dengan kenyataan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Ahmad Shah Mohd Zin berhubung kebimbangan kesatuan itu mengenai penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat sekarang.
Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kebimbangan itu tidak berasas sama sekali dan menunjukkan kecetekan fikiran pemimpin Cuepacs sehingga sanggup mengeluarkan pandangan tidak adil terhadap wanita.
"Puteri percaya dan yakin pertambahan penjawat awam wanita menurut Cuepacs (hampir tiga perempat jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) diisi oleh wanita) adalah disokong oleh kebolehan serta keupayaan wanita itu sendiri.
"Dan, perkembangan itu sama sekali tidak akan memberi kesan jangka panjang terhadap kemajuan dan pembangunan negara seperti yang didakwa oleh Cuepacs," katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin.
Ahmad Shah dalam kenyataannya kepada Bernama hari ini berkata trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.
Ahmad Shah turut menghujahkan perkara itu bertentangan dengan polisi kerajaan sekarang yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada kaum wanita.
Rosnah berkata kenyataan pemimpin Cuepacs itu bertentangan dengan aspirasi kesaksamaan gender yang diuar-uarkan oleh kerajaan selain menidakkan kebolehan dan keupayaan golongan wanita.
"Cuepacs sepatutnya mencari jalan dan melihat faktor yang menyebabkan kekurangan kaum lelaki dalam jawatan sebagai pembuat dasar terutamanya daripada sudut jumlah penuntut wanita di institusi pengajian tinggi yang sentiasa melebihi kaum lelaki," katanya.
Rosnah berkata Puteri Umno mahu Ahmad Shah memikirkan semula kenyataannya, yang jelas tidak mengambil kira sumbangan golongan wanita kepada pembangunan negara semata-mata kerana tidak boleh menerima hakikat bahawa jumlah wanita berkebolehan sekarang melebihi kaum lelaki.
"Pergerakan Puteri Umno juga percaya, dalam apa bidang sekali pun, penglibatan wanita adalah berasaskan merit dan ia sepatutnya seimbang dengan penyertaan kaum lelaki," katanya.
Bernama Online
No comments:
Post a Comment