Sunday, July 11, 2010

Biasiswa JPA tanpa kira kaum

KUALA LUMPUR 10 Julai - Semua pelajar cemerlang yang memperolehi 9A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemberian biasiswa untuk pengajian ke luar negara atau dalam negara itu merangkumi semua pelajar tidak mengira etnik, kaum, keturunan dan latar belakang.

Menurutnya, keputusan yang dibuat oleh Kabinet itu semata-mata untuk mengiktiraf pelajar cemerlang.

''Keputusan ini bagi saya merupakan satu sejarah dan pencapaian yang tidak pernah dicapai sebelum ini khusus untuk pelajar-pelajar cemerlang di negara ini,'' katanya berucap pada perasmian Perhimpunan Agung MIC hari ini.

Najib berkata, keputusan itu juga jelas membuktikan 1Malaysia bukan setakat slogan tetapi telah dilaksanakan oleh kerajaan di bawah kepimpinannya.

Sementara itu beliau berkata, daripada 4,541 pemohon pelajar India ke universiti awam, seramai 2,499 layak untuk ditawarkan tempat.

''Daripada jumlah itu, 2,304 pelajar India telah berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti awam atau dari segi peratusan ia mewakili 92.2 peratus daripada jumlah mereka yang layak ditawarkan tempat.

''Ini merupakan mesej yang cukup jelas bahawa kerajaan sedia ada akan terus membantu kaum India dalam usaha kita meningkatkan taraf hidup mereka.

''Ini adalah janji kita, janji kerajaan BN. Kita akan melakukan transformasi terhadap negara ini. Kita sekarang berada di atas landasan untuk melakukan transformasi ini,'' katanya lagi.

Utusan Malaysia Online

No comments: