Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my
TERINGIN sangat hati penulis hendak bersarapan nasi kerabu. Pilihan terbaik ialah kedai Kak Mah Nasi Dagang, Sungai Merab di pintu belakang Putrajaya yang terletak berhampiran dengan rumah di Bangi. Seperti biasa pengunjungnya ramai, setiap meja dipenuhi pelanggan termasuk pegawai dan kakitangan kerajaan berdasarkan jaket 'korporat' yang dipakai dan tag nama yang jelas terpapar nama-nama agensi atau kementerian masing-masing.
Jam hampir menginjak ke pukul 10 pagi, mereka masih lagi rancak berborak, sambil menghirup teh tarik yang sudah sejuk dan sesekali menyedut asap rokok. Sesuatu yang pasti mereka ini sudah berada di kedai ini seawal pukul 9 pagi.
Apabila penulis bergerak untuk membayar kira-kira pukul 9.50 pagi, langsung tidak kelihatan mereka akan bangun dan kembali ke pejabat masing-masing.
Soalannya, tidak bekerjakah mereka atau sudah siap semua kerja yang diamanahkan? Berapa jam sebenarnya mereka ini bekerja dalam sehari, jika ditolak masa terbuang semasa bersarapan dan makan tengah hari.
Adilkah perbuatan ini? Mereka mendapat gaji yang sudah semestinya daripada duit rakyat, berbanding dengan kakitangan lain yang tekun bekerja seperti guru yang memulakan tugas seawal 7.30 pagi dan akan habis pada sebelah petang jika tidak ditambah dengan aktiviti kokurikulum atau kerja-kerja perkeranian.
Selain itu, saban tahun, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan berjuang untuk meminta bonus dan kenaikan gaji. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga berkali-kali mendambakan perkhidmatan terbaik kelas pertama daripada penjawat awam.
Tetapi pada masa sama masih terdapat segelintir yang seolah-olah sekadar menumpang dan mengambil kesempatan daripada nikmat yang dilimpahkan kerajaan. Oleh itu, jangan hanya kerana segelintir atau kerana nila setitik akan menyebabkan seluruh sektor awam dipandang serong.
Beberapa tahun lepas, masih segar diingatan penulis teguran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan terhadap segelintir penjawat awam yang sanggup memandu hingga ke Nilai atau Port Dickson dari Seremban hanya semata-mata untuk bersarapan atas alasan makanan di tempat berkenaan lebih lazat.
Apa salahnya sesekali pihak-pihak berkuasa dalam sektor awam ini turun padang dan membuat kunjungan 'hormat' ke restoran-restoran yang mempunyai rating tinggi bagi melihat sendiri perangai anak-anak buah mereka.
Kerja iaitu mencari rezeki halal adalah ibadah yang akan diperhitungkan soal dosa pahala di akhirat. Dalam mengerjakan ibadah tiada istilah jalan pintas semuanya wajib dilakukan mengikut turutan atau rukun.
Berkatkah rezeki yang diperoleh jika jalan pintas diamalkan? Bagaimana hukumnya pendapatan yang dituai pada hujung bulan itu diberi makan kepada anak-anak dan untuk saraan keluarga?
Malah pada padang mahsyar nanti, segala perbuatan kita akan dihisab dan dipertontonkan kepada umum, mulut akan terkatup rapat, anggota badan pula yang akan mengambil peranan menjelaskan setiap apa yang dilakukan oleh tuan punya badan, walaupun sekecil zarah sekalipun.
Timbang-timbangkanlah hidup di dunia hanya sementara sebelum meneruskan perjalanan abadi ke akhirat.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment