Tuesday, July 13, 2010

Moral tadbir urus awam, swasta

DALAM tempoh 10 tahun yang akan datang, kita akan menghadapi pelbagai cabaran. Kita terpaksa mengubah cara bekerja, kehidupan dan cara berfikir. Kita semestinya memperkasakan institusi-institusi yang ada, membina kapasiti dan memperkuatkan polisi-polisi dan rangka-rangka peraturan yang sedia ada. Kita perlu memastikan asas negara kita tetap teguh.

Adalah mungkin terlalu mudah untuk mengatakan bahawa sifat tamak dan kekurangan moral adalah penyebab berlakunya krisis kewangan di pusat-pusat kewangan Barat baru-baru ini. Namun begitu, kita tidak dapat menepis hakikat bahawa faktor-faktor ini, sedikit sebanyak menjadi penyebab berlakunya krisis tersebut.

Kita seharusnya mengambil iktibar daripada krisis ini, serta beberapa skandal korporat dan penipuan dalam tempoh sedekad lepas, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi negara yang lebih canggih dan tinggi nilai tambahnya.

Sehubungan ini, kelakuan moral dalam sektor awam dan swasta adalah komponen yang amat penting dalam usaha kita membina kejayaan masa depan.

Apa yang akan saya tekankan ialah bagaimana perlakuan bermoral merupakan antara kunci utama dalam menjamin kejayaan kita, sebagai asas membina kecemerlangan masa depan generasi yang akan datang.

Telah banyak yang diperdebatkan bahawa isu moral dalam sektor awam dan swasta adalah terlalu kompleks untuk dinyatakan dengan mudah, untuk diwarnakan dalam hitam dan putih. Dalam era pascamoden ini, ada juga trend untuk menegakkan benang yang basah dengan menyatakan kesalahan tersebut perlu dilihat secara relatif.

Sebagai pemegang amanah, sebenarnya isu ini adalah mudah - ia betul atau salah. Terlalu sempit ruangnya di antara kedua-dua kesimpulan ini.

Saya akur bahawa kita semua manusia biasa - sentiasa lemah dalam menghadapi godaan dunia. Tiada siapa yang sempurna tetapi kita semestinya memelihara kesucian amanah awam yang dipegang.

Walaupun sekali ia diabaikan, adalah terlalu sukar untuk mengembalikan kepercayaan yang terlupus hilang. Sebagai seorang individu, institusi mahupun badan korporat, janganlah kita merosakkan walaupun setitik amanah yang di berikan.

Tiada cukup rang undang-undang, kod etika mahupun kawal selia, peraturan dan tatacara yang boleh menjaminkan amanah yang di pegang ini sentiasa teguh dan suci. Walaupun mungkin kegiatan yang dilakukan tidak salah dari segi undang-undang tetapi ia boleh dianggap salah dari segi moral. Salah adalah tetap salah.

Hati nurani seseorang itu adalah berdasarkan nilai moralnya. Nilai moral tersebut, seterusnya, berdasarkan nilai-nilai agama dan komuniti di sekeliling seseorang itu. Tiada agama utama di dunia ini yang membenarkan penyelewengan wang, rasuah dan penipuan. Tiada juga komuniti sah yang membenarkan perkara yang sama, biarpun komuniti terdiri daripada pemegang-pemegang saham, koperasi ataupun persatuan.

Malaysia sebuah negara yang masih muda. Jika kita inginkan nama negara disebut-sebut dan diagung-agungkan, kedua-dua sektor awam dan swasta negara ini mestilah dijalankan dengan secara bermoral.

Sesetengah daripada anda mungkin menganggap sikap prinsip ini sebagai ketinggalan zaman, lapuk, tidak mengikut masa tetapi pada hemat saya, inilah prinsip hidup yang seharusnya kita pegang ke akhir zaman.

Apa yang menyedihkan bahawa dalam era kehidupan kita sekarang ini, kita tidak meletakkan perasan malu yang setimpal ke atas orang yang berkelakuan melampaui batasan moral.

Kita sebagai satu masyarakat, terlalu senang meraikan orang yang di anggap kaya raya dan hidupnya mewah. Kita meraikan mereka ini tanpa terlalu mempersoalkan asal usul kekayaan mereka. Kita sebagai satu masyarakat juga terbabit bersalah dalam keghairahan kita meraikan si pelaku salah.

Kita mesti memperkasakan kepercayaan rakyat terhadap kekebalan daripada aktiviti korupsi institusi-institusi awam dan korporat, di dalam ahli-ahli perkhidmatan awam dan pengurus-pengurus pihak swasta dan penjaga-penjaga harta dan pelaburan kita.

Apa yang asas adalah menjaga nama baik kita, nama yang akan diagungkan oleh anak cucu kita, waris-waris kita, dan nama kita yang akan ditinggalkan sepemergian kita.

Seharusnya, setiap negara memegang hasrat untuk mencapai nilai-nilai kemanusiaan yang tertinggi. Ini adalah tanggungjawab kita demi generasi masa depan kita.

Semakin ekonomi kita berkembang menjadi lebih kompleks, semakin besar dugaan dan godaan yang bertambah menarik dan lumayan, dan semakin bertambah juga peluang-peluang untuk kita melintasi batasan rangka kelakuan moral kita.

Saya berdoa kita semua dapat menanamkan sikap ini dalam hati nurani kita, keteguhan dan ketabahan dalam usaha memelihara nama baik kita semua demi negara yang tercinta ini. Keluhuran hati nurani kitalah terletaknya masa depan waris anak cucu kita. Dengan berkat Allah SWT jua, insya-Allah, kita akan berjaya.

Oleh : DATUK SERI AHMAD HUSNI HANADZLAH
Menteri Kewangan II

Utusan Malaysia Online

No comments: