Tuesday, July 20, 2010

‘Kami pun bayar cukai’

SAYA ingin memberi komen berkaitan artikel Lagi isu curi tulang di Putrajaya yang disiarkan oleh akhbar ini pada 19 Julai 2010 di dalam ruangan Forum yang dihantar oleh seseorang yang menggelarkan dirinya Tuan Punya Pegawai, Pelabuhan Klang.

Saya berasa simpati di atas pengalaman Tuan Punya Pegawai apabila gagal berurusan dengan salah sebuah agensi kerajaan di Putrajaya. Mungkin pegawai yang ingin ditemuinya mempunyai sebab signifikan dan teknikal kerana tidak dapat memberikan perkhidmatan kepada beliau ketika itu.

Diharap Tuan Punya Pegawai dapat memahami terlebih dahulu bagaimana sesebuah jabatan kerajaan berfungsi sebelum membuat kesimpulan yang jelek terhadap keseluruhan perkhidmatan awam. Tidak semua agensi kerajaan mempunyai prosedur yang sama dalam menyelesaikan masalah pelanggan atau rakyat dan sememangnya anggota perkhidmatan awam tertakluk kepada peraturan dan pekeliling dari masa ke semasa dalam memberikan perkhidmatan.

Oleh itu tidak adil Tuan Punya Pegawai memberikan komen begitu sehingga mengaitkan cukai yang Pelabuhan Klang bayar diguna untuk membayar elaun COLA kepada kakitangan awam. Tuan Punya Pegawai jelas tidak matang dan telah menghina anggota awam keseluruhannya.

Untuk makluman kakitangan awam juga membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Kakitangan awam yang berjumlah 1.2 juta orang juga merupakan pemain utama dalam membantu ekonomi negara dari segi perbelanjaan domestik mereka. Mereka juga membelanjakan anggaran minimum sekurang-kurangnya RM60 juta ringgit setahun untuk membeli baju batik bagi membantu industri batik negara jika mengambil kira sepasang batik berharga RM50. Dan lagi masa rehat bagi perkhidmatan awam di Putrajaya pada hari Jumaat adalah 12.15 tengah hari dan bukannya 12.30 tengah hari seperti yang dinyatakan.

Oleh itu Tuan Punya Pegawai harus berfikir panjang sebelum membuat kesimpulan yang boleh mengeruhkan keadaan. Sebagai tambahan saya juga mempunyai pengalaman buruk ketika berurusan dengan salah sebuah bank yang bukan dimiliki oleh agensi kerajaan.

Komen Pembaca

Utusan Malaysia Online

No comments: