Saturday, July 10, 2010

TPM ingatkan NGO kaum,JPA bukan satu-satunya sumber biasiswa

ABUJA 9 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum di Malaysia supaya tidak hanya menumpukan kepada pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semata-mata sehingga terus-menerus membangkitkan soal tersebut.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana selain JPA, terdapat pelbagai lagi agensi, badan korporat dan yayasan di Malaysia yang turut mengeluarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang.

Menurutnya, jika semua jumlah itu dicampurkan maka nilai biasiswa yang dikeluarkan kepada pelajar yang berjaya setiap tahun tentunya jauh lebih besar.

"Mara, Petronas, agensi-agensi dan beberapa banyak yayasan lagi, kalau diambil kira itu makna JPA bukan hanya satu-satunya sumber biasiswa dan kalau dicampur, jumlahnya lebih besar," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) di sini hari ini.

Beliau mengulas reaksi beberapa NGO berasaskan kaum yang masih tidak berpuas hati dengan formula pemberian biasiswa JPA walaupun telah dijelaskan secara terperinci oleh kerajaan.

Dalam kenyataan Selasa lalu, Muhyiddin berkata, kerajaan menyediakan 1,750 biasiswa JPA untuk program penajaan Program Ijazah Luar Negara bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 yang memperoleh keputusan cemerlang dalam sembilan mata pelajaran.

JPA telah menerima 18,844 permohonan dan daripada jumlah itu, 10,956 pemohon telah melepasi kelayakan minimum yang ditetapkan mengikut bidang pengajian.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, formula pemberian biasiswa JPA yang diamalkan sejak dahulu adalah adil kepada semua pihak berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan dalam hal ini tidak mungkin dapat memberi biasiswa kepada kesemua pelajar cemerlang kerana jumlah permohonan diterima adalah terlalu besar.

"Pihak yang memerlukan biasiswa itu agak ramai tapi kerajaan tak punya kemampuan biayai keseluruhan, jadi kita pilih berdasar kriteria yang diputuskan tadi.

"Yang bumiputera (bangkitkan) menerusi GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung), Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) dan bukan bumiputera dengan masyarakat India dan sebagainya, tapi formula yang diputuskan itu boleh dikatakan adil," jelasnya.

Menurut Muhyiddin, terdapat empat kategori penerima biasiswa JPA iaitu pertama berdasarkan merit, kedua berdasarkan kaum, ketiga, pelajar-pelajar dari Sabah dan Sarawak manakala keempat ialah pelajar miskin.

Beliau berkata, sebelum penjelasan menerusi kenyataan akhbar itu dibuat, beliau juga telah mempengerusikan mesyuarat bagi menjelaskan isu ini yang turut dihadiri wakil-wakil MCA, MIC dan pemimpin dari Sabah dan Sarawak.

"Dalam pertemuan itu, mereka berpendapat apa yang telah diputuskan oleh pihak JPA adalah bersesuaian berdasarkan kepada kemampuan kerajaan untuk menyediakan biasiswa itu.

"Sebab itu kita beri penjelasan supaya tiada pihak yang membangkitkan (isu itu). Permohonan dikemukakan itu datangnya daripada jumlah yang besar," katanya.

Utusan Malaysia Online

No comments: