Thursday, July 15, 2010

Penambahbaikan gaji Pensyarah Perubatan IPTA

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi ingin merujuk kepada luahan hati/aduan Dr. Zul Hilmi Yaakob, Pensyarah Kanan Unit Kardiologi di Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya bertajuk Pensyarah Perubatan Merayu yang telah dilaporkan di dalam ruangan Forum Utusan Malaysia bertarikh 12 Julai 2010.

Sejak kerajaan memperkenalkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) sebagai sistem saraan yang diguna pakai oleh pegawai awam berkuat kuasa mulai 1 November 2002 menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB), kerajaan telah pun melaksanakan kenaikan gaji secara menyeluruh bagi semua skim perkhidmatan yang ada berkuat kuasa pada 1 Julai 2007.

Adalah diakui jadual gaji permulaan Pensyarah Perubatan khususnya Gred DU51/52 dan DU53/54 adalah lebih rendah daripada gaji permulaan yang dinikmati oleh Pegawai Perubatan di gred yang sama yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Berdasarkan kedudukan gaji permulaan yang kurang menarik, serta mengambil kira beban tugas Pensyarah Perubatan di Institusi Pengajian Tinggi Awam yang perlu juga melaksanakan tugas klinikal di samping tugas pengajaran dan pembelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama semua pihak yang berkenaan di IPTA telah mengambil inisiatif mengemukakan cadangan penambahbaikan Jadual Gaji Matrik Skim Perkhidmatan Pensyarah Perubatan dan juga mencadangkan supaya Pensyarah Perubatan diberi elaun insentif khas, kepada Kerajaan khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam.

Atas rasa keprihatinan terhadap kerjaya Pensyarah Perubatan, kerajaan telah meluluskan penambahbaikan kepada Jadual Gaji Matrik Pensyarah Perubatan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2010. Pelaksanaannya adalah seperti mana yang ditetapkan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2010 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh 27 April 2010.

Berdasarkan keputusan yang dibuat, adalah diperhatikan bahawa kadar kenaikan gaji permulaan adalah pada kadar 9.1% bagi Gred DU51/52 dan pada kadar 7.6% bagi Gred DU53/54. Butiran penambahbaikan Jadual Gaji Matrik Pensyarah Perubatan dapat dilihat seperti ditunjukkan di atas:

Walaupun diakui pelaksanaan Jadual Gaji Matrik Pensyarah Perubatan ini tidak memberi kelebihan kepada Pensyarah Perubatan yang telah lama berada dalam perkhidmatan, tetapi ia boleh menarik lebih ramai graduan menceburi kerjaya Pensyarah Perubatan kerana mempunyai jadual gaji permulaan yang lebih baik berbanding dengan jadual gaji asal. Ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan skim perkhidmatan Pensyarah Perubatan yang lebih menarik dan bagi memastikan Pensyarah Perubatan sedia ada terus kekal berkhidmat di IPTA.

Di samping itu, mengambil kira beban tugas Pensyarah Perubatan di IPTA yang perlu melaksanakan tugas-tugas klinikal di samping tugas pengajaran dan pembelajaran dan tugas-tugas lain yang berkaitan, kerajaan juga telah meluluskan pemberian Bayaran Insentif Akademik kepada Pensyarah Perubatan. Pelaksanaan mengenai perkara ini sedang diuruskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

Selain itu, kerajaan juga telah membuat keputusan supaya laluan kerjaya yang diluluskan bagi Pegawai Perubatan di KKM berdasarkan tempoh perkhidmatan dipanjangkan juga kepada Pensyarah Perubatan di IPTA dengan dibuat pengubahsuaian.

Oleh kerana keputusan tersebut sukar dilaksanakan ke atas Pensyarah Perubatan oleh kerana skim perkhidmatan yang berbeza, dan setelah berbincang dengan wakil-wakil Pensyarah Perubatan di IPTA, persetujuan telah dicapai supaya dibuat cadangan pindaan ke atas skim perkhidmatan Pensyarah Perubatan sedia ada. Pada masa ini ulasan sedang diperoleh daripada semua IPTA yang berkenaan sebelum cadangan dapat dikemukakan kepada kerajaan khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam.

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dakwaan pengadu bahawa kebajikan Pensyarah Perubatan tidak mendapat perhatian daripada mana-mana pihak adalah kurang tepat.

Kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi memang prihatin berhubung dengan kebajikan Pensyarah Perubatan di IPTA dan sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

RAIHANAH KHUDRI
Ketua Komunikasi Korporat,
Kementerian Pengajian Tinggi


Utusan Malaysia Online

No comments: