Wednesday, February 9, 2011

Mohammed bersara selepas 32 tahun berkhidmat


KUALA LUMPUR 8 Feb. - Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohammed Mohd. Daud , 58, yang bersara wajib hari ini setelah berkhidmat selama 32 tahun diraikan oleh pegawai dan kakitangan dalam suasana penuh bermakna.

Beliau mengetip keluar kad perakam waktu bagi kali terakhir pada pukul 5 petang dan bersalaman dengan rakan-rakan sekerja serta kakitangan kementerian.

Mohammed yang memegang jawatan tersebut sejak 2009 menyifatkan tugas beliau mencabar dengan 10 agensi berada di bawahnya yang mempunyai skop berbeza berasaskan ekonomi dan sosial.

"Kebudayaan bukan bermaksud tarian mahupun persembahan, ia merupakan manifestasi daripada budaya.

"Kami di kementerian tidak pernah jemu menerapkan rakyat dengan mengamalkan budaya yang merupakan cara hidup kita tidak kira Melayu, Cina, India dan kaum lain," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohammed berkata, beliau bangga apabila terlibat dalam dasar industri muzik negara dengan membawa bakat-bakat seni negara pertama kalinya untuk menembusi pasaran antarabangsa dan mempromosikan pada World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Hollywood.

"Penubuhan Orkestra Tradisional Malaysia juga merupakan antara terjemahan kepada visi kementerian.

''Instrumen yang digunakan adalah daripada pelbagai kaum disatukan dengan kekuatan sebanyak 76 orang. Satu hari nanti saya berharap agar kumpulan itu mempunyai orkestra yang lengkap dengan 106 orang," katanya.

Beliau memberitahu, pengalaman pahitnya yang tidak dapat dilupakan adalah semasa bertugas sebagai Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Kuwait.

"Apabila berlakunya penaklukan Kuwait oleh Iraq, saya perlu menyelamatkan rakyat Malaysia dan Singapura daripada Kuwait. Perjalanan yang biasanya mengambil masa tiga ke empat jam menjadi 18 jam.

"Perjalanan yang diambil terpaksa menempuh banyak sekatan jalan, diacukan senapang dan pernah disoal berjam-jam di balai," jelasnya.

Beliau yang merupakan lulusan Universiti Malaya memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik generasi yang pertama pada 1978.

Mohammed yang merupakan anak kelahiran Negeri Sembilan berkata, beliau akan mengambil kesempatan persaraannya untuk berehat terlebih dulu.

Tambahnya, beliau pasti merindui dengan alam pekerjaan dan akan terus menyumbang kepada negara dengan cadangan mahupun idea untuk membantu memartabatkan lagi perkhidmatan awam dan misi kementerian.

"Pesanan saya kepada pengganti agar memahami dengan jelas mengenai budaya. Fahami sebaik mungkin dan matlamat kementerian serta menterjemahkan. Jadilah agresif dan selalu turun padang.

"Begitu juga kepada warga kementerian, fahami tugas dan matlamat dengan jelas. Kakitangan kami sentiasa bekerja walaupun Sabtu dan Ahad sepanjang tahun bagi menjalankan program-program kebudayaan," katanya.
Utusan Malaysia Online

No comments: