Friday, February 18, 2011

Penjawat awam jangan lengahkan kerja - Lajim

KUALA PENYU 17 Feb. - Penjawat awam digesa membuat sesuatu keputusan atau kelulusan dengan kadar segera dan tidak melengah-lengahkan kerja dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, penjawat awam khususnya ketua jabatan perlu memastikan proses kerja yang diguna pakai sentiasa relevan dan mengikut perkembangan semasa.

Menurut beliau, hanya dengan cara itu ia dapat meyakinkan masyarakat dan memenuhi aspirasi rakyat yang mahukan satu sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, cepat dan berkesan.

Sehubungan itu katanya, penjawat awam bukan sahaja perlu komited dalam melaksanakan tugas masing-masing, tetapi pada masa yang sama perlu memiliki daya saing dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

"Sebagai pelaksana dasar di peringkat akar umbi, penjawat awam perlu meningkatkan kemahiran, kecekapan dan pengetahuan bagi memastikan segala perkhidmatan yang diberikan mampu memuaskan setiap pelanggan iaitu orang ramai," katanya di sini hari ini.

Lajim berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama ketua jabatan kerajaan dan pemimpin masyarakat tempatan daerah Kuala Penyu di Dewan Masyarakat Dato' Shah Bandar Makang di sini.

Mengulas lanjut, Lajim berkata, setiap ringgit yang dibelanjakan oleh penjawat awam seharusnya dibelanjakan dengan berhemah dan boleh memberi impak positif kepada kepentingan rakyat.

Jelasnya, hanya tindakan berhemah tersebut membolehkan kerajaan berjimat dan menggunakannya untuk melaksanakan lebih banyak projek di negeri ini.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, kerajaan memandang berat soal integriti dalam kalangan penjawat awam.

"Kesungguhan serta kebolehan penjawat awam di semua peringkat dalam menentukan segala dasar dan program dilaksanakan dengan sempurna merupakan kunci kepada kejayaan negara," katanya.

Sementara itu, beliau yang menghargai sokongan dan serta kerjasama yang diberikan oleh penjawat awam amat mengalu-alukan sebarang cadangan dan pandangan bagi memantapkan lagi perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan rakyat supaya menghargai peranan sektor perkhidmatan awam kerana ia merupakan tulang belakang pembangunan negara.

"Mereka yang suka menghentam sektor awam sebenarnya merupakan golongan yang hanya suka mencari kesalahan orang lain. Pihak berkenaan harus sedar peranan sektor awam kerana mereka inilah yang membantu menjadi jentera kepada dasar dan pembangunan negara," katanya.

Utusan Malaysia Online

No comments: