Wednesday, February 16, 2011

Bekas KSU diberi pengiktirafan

SHAH ALAM 15 Feb. - Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Tan Sri Hashim Meon, 64, adalah antara lima penerima anugerah sempena sambutan Maulidur Rasul 2011 peringkat negeri Selangor di Stadium Malawati, di sini hari ini.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor menerima Anugerah Umar Abdul Aziz bagi mengiktiraf sumbangannya dalam sektor perkhidmatan awam dan kemajuan negeri ini.

Ketika ditemui pemberita, beliau berkata, anugerah itu menaikkan semangatnya untuk terus menabur bakti ke arah pembangunan Islam.

"Walaupun tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan, saya memilih untuk bergerak aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Insya-Allah, saya akan meneruskan usaha untuk membantu masyarakat di negara ini termasuk di Selangor," katanya.

Hashim menerima hadiah wang tunai RM15,000, piala, sijil penghargaan dan sepersalinan.

Penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh wakil Sultan Selangor, Tengku Sulaiman Shah.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan SUK Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Pensyarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj, 45, pula menerima Anugerah Saidatina Khadijah.

Beliau berkata, anugerah tersebut memberikan pengiktirafan kepada seluruh wanita Islam di negeri ini sekali gus membuktikan golongan tersebut juga mampu memberikan sumbangan seiring dengan golongan lelaki.

Dalam pada itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Mohd. Nasir Abd. Ghani, 54, menerima Anugerah Khalid Al-Walid di atas kegigihan dan keberanian melaksanakan usaha menyelamat.

Antaranya, beliau pernah mengetuai operasi menyelamat kebakaran Kompleks Campbell (1975); tragedi runtuhan kondominium Highland Tower (1993); kebakaran hutan di Sabah dan kebakaran kilang mercun di Sungai Buloh (1992).

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Musa Fathullah Harun pula menerima Anugerah Imam Al-Ghazali atas sumbangan pentingnya dalam bidang dakwah dan penulisan ilmu-ilmu Islam.

Ketiga-tiga penerima anugerah itu masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, piala, sijil penghargaan dan sepersalinan.

Sementara itu, tokoh termuda, Siti Nadhira Shafei, 18, pula dipilih menerima Anugerah Saidina Ali atas kecemerlangannya dalam bidang hafazan al-Quran.

Dia merupakan johan majlis hafazan al-Quran peringkat kebangsaan kategori 30 juzuk dua tahun berturut-turut sejak 2009.

Beliau menerima wang tunai RM5,000, piala, sijil dan sepersalinan.

Utusan Malaysia Online

No comments: