Thursday, February 10, 2011

MPHTJ berjaya kutip hasil RM26.9 juta

MELAKA 9 Feb. - Walaupun baru setahun ditubuhkan, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) telah mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM26.9 juta sepanjang tahun lalu.

Yang Dipertuanya, Sapiah Haron berkata, prestasi kewangan bagi tahun lalu itu adalah hasil daripada cukai taksiran dan pelbagai hasil kutipan sementara.

"Di segi perbelanjaan pula, kita telah membelanjakan sebanyak RM29 juta bagi tujuan perbelanjaan utama seperti penyelenggaraan, perkhidmatan dan pembangunan.

"Bagi tahun ini, anggaran hasil yang akan dikutip adalah sebanyak RM43.45 juta. Hasil itu melalui cukai taksiran dan caruman membantu kadar, bayaran lesen, sewaan dan lain-lain bayaran perkhidmatan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan negeri anjuran MPHTJ di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Menurut Sapiah, kutipan cukai memberikan sumbangan besar kepada pembangunan dan sektor perkhidmatan pihak berkuasa tempatan itu di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MPHTJ telah membangunkan sebanyak 25 buah modul aplikasi teknologi maklumat untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti kakitangannya.

"Ia juga dapat meningkatkan sistem penyampaian MPHTJ kepada orang ramai antaranya melibatkan sistem perakaunan bersepadu, sistem sewaan gerai dan premis serta sistem kompaun.

"Kita juga akan memasang 24 unit sistem kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa kawasan tumpuan awam selaras dengan usaha ke arah mewujudkan sebuah bandar raya selamat," tambahnya.

Langkah itu menurut Sapiah, bertujuan mengurangkan indeks jenayah selain memantau kesesakan jalan raya.

Utusan Malaysia Online

No comments: