Tuesday, February 15, 2011

Tindakan lengah angkat sumpah SUK dipersoal

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Tindakan kerajaan Selangor terus melengahkan majlis angkat sumpah rahsia Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi dipersoalkan beberapa pakar perundangan.

Menurut mereka, tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menganggap majlis itu sebagai tidak penting seolah-olah memperlecehkan perkhidmatan awam selain menimbulkan keraguan sama ada terdapat sesuatu hendak disembunyikan.

Bekas Felo Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd. Roslan Mohd. Saludin menyifatkan perkara itu sebagai sejarah hitam yang amat malang untuk ditanggung rakyat Selangor.

“Jika majlis angkat sumpah tidak penting, apa sebenarnya yang penting? Adakah kepentingan politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu didahulukan berbanding kepentingan rakyat?

“Inilah bukti omongan kosong kononnya mereka mengamalkan pentadbiran telus dan berintegriti. Nampak manis tetapi hakikatnya mereka gagal memahami konsep semak dan imbang yang perlu diwujudkan agar rakyat tidak menjadi mangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Abdul Khalid memberitahu, majlis itu akan tetap diadakan tetapi mengikut masa beliau memandangkan dirinya begitu sibuk kerana bertugas setiap hari termasuk Ahad.

Mohd. Roslan menambah, ada kemungkinan majlis itu dilengahkan kerana tidak mahu segala rahsia kelemahan pentadbiran kerajaan negeri diketahui Khusrin sehingga mendatangkan risiko besar kepada pembangkang.

“Mereka seboleh-bolehnya masih mahukan orang yang boleh diperkotak-katik dan mengikut selera ‘tuan politik’ agar dapat membendung sebarang kelemahan yang ada daripada diketahui umum,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Irmohizam Ibrahim menjelaskan, berdasarkan undang-undang tubuh kerajaan negeri, pegawai yang belum mengangkat sumpah tidak boleh mengikuti mesyuarat exco.

“Jadi, bagaimana Abdul Khalid boleh katakan perkara ini tidak penting. Kalau Khusrin tidak masuk mesyuarat, bagaimana beliau selaku SUK hendak membawa dasar itu ke bawah untuk dilaksanakan?

“Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah perkenan dan Khusrin pun telah mengangkat sumpah di hadapan baginda. Apa lagi yang tidak kena?” soalnya.

Beliau dalam pada itu turut menganggap Abdul Khalid cuba memberikan alasan tidak matang kononnya teramat sibuk sehingga majlis itu tidak dapat dijalankan.

“Sebagai Menteri Besar, beliau sepatutnya tahu membahagikan masa untuk tugasan negeri dan peribadi. Alasan tidak matang dan remeh sebegitu menampakkan beliau cuba mempermainkan institusi-institusi yang wujud di negeri dan peringkat Persekutuan,” katanya.

Utusan Malaysia Online

No comments: