Thursday, November 27, 2014

JPA Teliti Kes Salah Laku Seperti Laporan Ketua Audit Negara 2013

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang meneliti kes-kes penjawat awam yang dikenal pasti terlibat dalam salah laku seperti dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 3 baru-baru ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata JPA sedang meneliti kesalahan mereka dan mengumpul maklum balas daripada semua kementerian yang terlibat, termasuk surat tunjuk sebab salah laku penjawat awam yang terlibat.

"Sekarang masih dalam peringkat permulaan penyiasatan...kami perlu meneliti apa kesalahan yang dibuat oleh penjawat awam yang terlibat, termasuk meminta mereka menyatakan sebab barulah boleh mengambil tindakan terhadap mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Patriotisme JPA 2014 di sini, Jumaat.

Rabu lepas pada sesi bersama media berhubung Laporan Ketua Audit Negara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata laporan itu antara lain memberi lima teguran melibatkan 46 pegawai awam dikenal pasti untuk prosiding tatatertib.

Sementara itu, Mohamad Zabidi juga memberitahu laporan penuh audit bahasa yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke atas jabatan dan agensi kerajaan sejak tahun lepas akan dikeluarkan pada Jun 2015.

Mohamad Zabidi berkata audit itu menunjukkan keprihatinan DBP untuk menilai tahap penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan penjawat awam.

"Pengauditan bahasa Melayu adalah perlu bagi memastikan semua penjawat awam mengguna dan memartabatkan bahasa kebangsaan dengan baik, sama ada dari segi pertuturan ataupun penyediaan dokumen rasmi.

"Setakat ini, lebih 30 jabatan dan agensi kerajaan menjalani audit bahasa sepanjang tahun ini bagi mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan," katanya.

Mohamad Zabidi berkata JPA sentiasa menjalankan pelbagai program untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.

"Di samping memantapkan penggunaan bahasa kebangsaan, penjawat awam juga perlu menguasai pelbagai bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris dengan baik kerana ia merupakan bahasa antarabangsa.

"Namun dalam usaha menguasai pelbagai bahasa, kita jangan lupa untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita," tegasnya.

Bernama Online

Kerjasama Dengan Agensi Kerajaan Penentu Kejayaan Operasi - JBPM

KOTA BAHARU, 26 Nov (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menyifatkan kerjasama erat antara agensi kerajaan sebagai penentu kepada kejayaan sesuatu operasi seperti banjir, bencana dan kemalangan.

Pengarahnya Azmi Osman berkata peralatan yang canggih dan berkualiti tinggi bukan penjamin untuk memastikan setiap operasi itu dapat diuruskan dengan baik tanpa kerjasama yang erat antara agensi lain.

Ini termasuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), katanya.

"Agensi kerajaan yang ada di negeri ini hari ini bekerjasama dengan baik dan ini menjadikan sesuatu operasi itu dapat dijalankan dengan cepat dan berkesan," katanya kepada pemberita selepas Latihan Bencana Berskala Besar JBPM Kelantan 2014 di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan di Kuala Besar di sini, Rabu.

Latihan selama dua hari itu melibatkan 370 anggota daripada pelbagai agensi termasuk PDRM, MKN, HRPZ II dan Majlis Perbandaran Kota Baharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) itu bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan anggota dalam menghadapi sebarang bencana.

Katanya, latihan juga bertujuan menguji kemampuan komander operasi dalam melaksanakan sistem pengurusan bencana mengikut sistem pengurusan yang diguna pakai masa kini.

"Ia juga akan memberi pendedahan dan pengetahuan serta kemahiran kepada pegawai kanan dan anggota bomba di balai-balai berkaitan aspek pengurusan bencana melibatkan unit-unit khas," katanya.

Bernama Online


Tuesday, November 25, 2014

SETIAP PENJAWAT AWAM PERLU FAHAM DENGAN JELAS TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM - KPPA

KANGAR, 24 Nov -- Setiap penjawat awam perlu memahami dengan jelas transformasi sektor awam supaya matlamat yang ditetapkan tercapai, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohd Zabidi Zainal.

Beliau berkata transformasi juga untuk meningkatkan integriti, keberkesanan dan kelicinan sistem penyampaian, dinamik dan berjiwa rakyat serta menambah nilai perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, Mohamad Zabidi berkata, "Isu-isu membabitkan agensi-agensi tertentu ibarat 'nila setitik rosak susu sebelanga' telah merosakkan seluruh perkhidmatan awam.

Sebagai contoh, katanya, isu tanah runtuh dan pendatang asing tanpa izin di Cameron Highlands telah menyebabkan persepsi negatif terhadap perkhidmatan awam di kalangan rakyat timbul.

"Persepsi negatif ini perlu diubah dengan memenuhi kepercayaan dan harapan rakyat terhadap perkhidmatan awam sebagai tiang seri kerajaan yang memerintah," katanya.

Mohamad Zabidi berucap merasmikan program 'Semarakkan Transformasi dan Jelajah #myGST4U' peringkat negeri Perlis di Dewan 2020 di sini, Isnin.

Setiausaha kerajaan Perlis, Romli Dai serta wakil CUEPACS dan agensi-agensi kerajaan persekutuan dan negeri turut hadir.

Sebanyak 20 booth mempamerkan perkhidmatan kerajaan termasuk mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).

"Jabatan-jabatan kerajaan hendaklah bertindak sebagai satu pasukan. Kena buat koordinasi, tidak boleh bertindak sendiri, malah pemikiran juga kena berubah. Inilah transformasi sebagai satu pasukan.

"Apabila pendekatan ini dilaksanakan, masalah tidak cukup anggota tidak akan berlaku. Kita juga mesti responsif dan memberi yang terbaik kepada rakyat," tambahnya.

Menurutnya program tersebut bagi membolehkan JPA dan agensi-agensi lain menyebar luas agenda dan dasar-dasar kerajaan mengenai CBP serta menjawab keraguan atau pertanyaan mengenainya.

Mohamad Zabidi berkata program itu yang telah dibuat di Perak, Kedah dan Sabah menunjukkan kefahaman penjawat awam semakin meningkat berdasarkan maklum balas positif hasil sesi soal jawab, forum dan pameran yang diadakan.

"Sekiranya penjawat awam boleh bertindak sebagai jurucakap dengan menerangkan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan mereka, akan berlaku kesan berganda yang memberi impak besar mengenai dasar yang dilaksanakan kerajaan terutama berkaitan CBP," katanya.

Beliau menambah Perlis adalah negeri pertama melaksanakan Lab Transformasi dengan kerjasama pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bertujuan memberi pendedahan mengenai transformasi perkhidmatan awam kepada semua penjawat awam.

Katanya, program sama akan diadakan di Johor Baharu pada 2 Dis depan.

Bernama Online

Thursday, November 20, 2014

Pengurusan Rekod Maklumat Penentu Akauntabiliti Dan Integriti Penjawat Awam

KUALA TERENGGANU, 19 Nov (Bernama) -- Pengurusan rekod maklumat dengan betul dan sahih akan menentukan akauntabiliti dan integriti penjawat awam serta pentadbiran kerajaan itu sendiri, kata Ketua Pengarah Arkib Negara Azemi Abdul Aziz.

Beliau berkata adalah penting untuk semua penjawat awam memahami pengurusan rekod secara profesional dan bukan sekadar operasinya sahaja.

"Jika salah kita merekod, menyampaikan dan menyimpan maklumat maka salahlah maklumat yang diterima dan digunakan. Kalau kita tidak dapat merujuk rekod dengan cepat, kita akan menjadi kurang cekap dan lambat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penutupan Program Cakna Pengurusan Rekod Awam bagi Zon Timur yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mazlan Ngah di sini pada Rabu.

Program berkenaan, kedua selepas Zon Utara yang diadakan pada April lepas, disertai 800 pegawai dan pengurus rekod di jabatan dan agensi kerajaan dari Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Azemi berkata kecekapan operasi dalam menguruskan rekod adalah asas kepada transaksi kerajaan dalam melaksanakan tugas, dan ia menggambarkan kualiti dalam penyampaian perkhidmatan yang disalur oleh jabatan serta agensi kerajaan.

Justeru, beliau berkata program seumpama itu yang dianjurkan Arkib Negara sebagai pengemudi dalam bidang pengurusan rekod, merupakan pendekatan baharu yang strategik dan efektif dalam meningkatkan kesedaran penjawat awam untuk memelihara rekod kerajaan yang bernilai sebagai memori institusi.

"Rekod yang diwujudkan penjawat awam bukan sahaja digunakan untuk memudahkan urusan kerja harian tetapi rekod ini akan menjadi khazanah penting kepada negara pada masa akan datang.

"Malah rekod tersebut akan menjadi bahan bukti penting yang tidak ternilai harganya yang boleh mengangkat nilai jati diri dan kedaulatan sesebuah negara," katanya.

Bernama Online

Wednesday, November 19, 2014

SPRM BERHAK AMBIL TINDAKAN TERHADAP PEGAWAI TERLIBAT RASUAH DI CAMERON HIGHLANDS - KSN

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu menunggu arahan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai kerajaan yang terlibat dalam kes penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. 

Beliau yakin SPRM sebagai badan bebas akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawai terbabit mengikut peruntukan undang-undang.
 

"SPRM adalah badan bebas, jadi mereka akan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya. Kami (kerajaan) tidak perlu memberi apa-apa arahan (kepada SPRM)," katanya.
 

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan surat arahan pemangkuan dan kenaikan pangkat kepada 48 pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) di ibu pejabat Jabatan Perhilitan, di sini hari ini.
 

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Zoal Azha Yusof.
 

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dilaporkan sebagai berkata, badan itu sedang menyiasat dua pegawai tinggi kerajaan berhubung aktiviti penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands, Pahang.
 

Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka berikutan terdapat maklumat mengenai kedua-dua pegawai yang bertugas di tanah tinggi itu hidup mewah melebihi pendapatan bulanan mereka.
 

Sebelum itu, Ali dalam ucapannya menyeru jabatan-jabatan terlibat dalam aktiviti penguatkuasaan perhutanan supaya melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) secara proaktif melalui kolaborasi dengan JPSM bagi memastikan tugas itu dapat dilaksanakan secara bersepadu dan menyeluruh.
 

"Saya percaya dalam mengurus dan membangunkan sumber hutan secara berkekalan, pelbagai rintangan dan cabaran perlu dihadapi khususnya yang melibatkan bidang penguatkuasaan.
 

"Saya difahamkan JPSM sedang dalam tindakan untuk memperkukuhkan dan memperkemaskan lagi aspek penguatkuasaan hutan bagi memastikan sumber alam semula jadi negara ini dalam keadaan terjaga dan diuruskan dengan baik," katanya.


Bernama Online

Sunday, November 16, 2014

JANGAN TUNGGU RAKYAT MINTA BANTUAN, KATA KSN KEPADA PENJAWAT AWAM

SUNGAI BESAR, 15 Nov (Bernama) -- Jabatan dan agensi kerajaan perlu mencari dan memberi perkhidmatan serta bantuan kepada rakyat dan bukan hanya menunggu rakyat meminta bantuan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. 

Mereka perlu mengambil langkah proaktif dengan memperbanyak program turun padang bersama masyarakat agar perkhidmatan dan bantuan daripada kerajaan dapat disalurkan kepada golongan sasaran dengan lebih cepat.
 

"Penjawat awam tidak mengira jawatan atau pangkat perlu sanggup meluangkan masa dan mengorbankan keselesaan bekerja di pejabat untuk pergi berjumpa orang ramai di kampung dan bandar kecil untuk memberi perkhidmatan kepada mereka.
 

"Seperti contoh kita jangan terlalu berharap orang yang memerlukan bantuan akan sendiri pergi ke mana-mana jabatan kebajikan, kita sebagai petugas perlu turun padang mencari maklumat individu yang memerlukan bantuan," katanya.
 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Dewan Sri Bernam di sini Sabtu.
 

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Seri Ismail Ahmad.
 
Dalam program itu, 533 warga emas di sekitar kawasan itu memperoleh lesen motosikal masing-masing.
 

Bernama Online

Monday, November 10, 2014

JPA4U@INTURA : Lestari Alam (Go Green) [9 November 2014]

Program JPA4U@INTURA ini bertepatan dengan teras keempat kerangka transformasi JPA iaitu jalinan kerjasama dan penglibatan untuk melahirkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dan berjiwa rakyat selain daripada memberi peluang kepada rakyat untuk mendampingi agensi-agensi awam dengan lebih dekat. Antara objektif lain program ialah memberi kesedaran tentang kepentingan menghargai alam sekitar dengan mewujudkan persekitaran yang lebih ‘mesra alam’ melalui aktiviti mengitar semula bahan terpakai.

Program ini juga dapat memberi pendedahan dan meningkatkan kefahaman inter-generasi kepada penjawat awam, golongan belia dan pihak luar khususnya mengenai peranan dan fungsi organisasi kerajaan dalam menangani cabaran semasa. Selain itu, program ini dapat menyediakan ruang untuk masyarakat berinteraksi dengan agensi kerajaan dan menjadikan INTAN sebagai tempat jaringan kerjasama agensi kerajaan, non-government organisation (NGO) dan masyarakat setempat serta secara tidak langsung dapat menyediakan platform kepada agensi yang berkaitan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan kepada masyarakat dengan lebih berkesan.

Bersempena penganjuran Program JPA4U@INTURA ini juga, pelbagai aktiviti telah dilaksana bagi memeriahkan program tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan seperti pameran, demonstrasi dan jualan produk yang melibatkan pelbagai agensi awam, badan berkanun dan swasta.
Program JPA4U@INTURA ini telah dilaksanakan pada 9 November 2014 bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 5.00 petang. Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Seramai 1300 orang telah hadir memeriahkan program ini yang terdiri daripada penjawat awam, Pelatih Kolej Kejururawatan Sungai Petani, belia, pelajar Kolej Komuniti, pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah, kakitangan swasta, NGO dan orang awam.
Program JPA4U@INTURA melibatkan tiga aktiviti yang dijalankan serentak di tiga lokasi sekitar kampus. Aktiviti utama berlangsung di Dataran INTURA yang bermula dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Acara utama di Dataran INTURA ialah Perasmian JPA4U@INTURA pada jam 2.45 petang oleh YBhg. Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Antara intipati ucapan Tan Sri KPPA dalam program tersebut ialah penjawat awam seharusnya memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam sentiasa relevan, bertaraf antarabangsa dan selari dengan peredaran zaman. Selain itu, beliau juga menekankan bahawa pemimpin yang ideal sentiasa berubah untuk kebaikan dan berusaha untuk mencorak pembangunan negara dengan baik supaya rakyat dapat merasai kemanisan di bawah kepimpinannya. Akhir sekali beliau berharap penjawat awam dapat memahami dan mengaplikasikan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan berpandukan lima teras strategik Kerangka Kerja Transformasi Perkhidmatan Awam yang telah diperkenalkan.

YBhg. Tan Sri KPPA juga turut melapangkan masa untuk menyempurnakan majlis pelancaran JPA4U@INTURA yang bertemakan ‘Lestari Alam” atau Go Green. Program ini dihadiri oleh pegawai dari organisasi awam dan swasta di wilayah utara, pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), belia, sekolah, serta masyarakat sekitar.
Di sekitar Dataran INTURA, pelbagai program dan aktiviti dijalankan antaranya Demonstrasi Menangkap Ular oleh Jabatan Pertahanan Awam(JPAM), Ceramah Penyalahgunaan Dadah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Ceramah Percukaian oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Ceramah Tatarias Wajah, Pertandingan Memasang Khemah dan Pertandingan Mewarna. Kesemua aktiviti ini melibatkan penglibatan pelbagai peringkat umur.

Sejurus tamatnya Perasmian JPA4U@INTURA, program diteruskan dengan Program Istimewa Bersama Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor. Dalam sesi ini beliau berkongsi pengalaman sebagai seorang angkasawan. Antaranya beliau menceritakan detik-detik pengalaman beliau pada 10 Oktober 2007 lalu, apabila kapal angkasa Soyuz TMA-11 yang ditumpangi oleh tiga orang penumpang Komander Peggy A. Whitson dari Amerika Syarikat, Jurutera Penerbangan Yuri Malenchenko dari Russia dan Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor sendiri telah melonjak meninggalkan bumi dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan.


Kesimpulannya keseluruhan program yang dirancang telah berjalan dengan lancar dan jayanya. Semua pihak yang terlibat memberikan kerjasama serta komitmen yang baik dalam menjayakan program ini. Dengan bantuan dan perkongsian sumber serta kesepakatan yang diberikan dapat meningkatkan kerjasama strategik di antara agensi kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam. Selain itu, sikap keterbukaan dan mudah didekati dapat dipupuk dalam kalangan penjawat awam agar rakyat berasa selesa untuk berhubung dan berinteraksi dengan agensi kerajaan. Akhir sekali program JPA4U@INTURA ini dapat meningkatkan legitimasi kerajaan dengan cara menambah lebih ramai kepimpinan komuniti di peringkat tempatan yang antara lain berperanan menyedarkan rakyat mengenai aktiviti yang dijalankan oleh agensi kerajaan.

YBhg. Dato’ Redza Rafiq sedang menyampaikan ceramah bertajuk
Kepelbagaian Generasi Realiti dan Cabaran
di Wacana Transformasi Kepimpinan Muda

Demontrasi menangkap ular oleh JPAM di Dataran INTURA Sempena Program JPA4U@INTURA

Beberapa peserta sedang mencuba kebolehan memasang khemah dalam Pertandingan ‘Teamwork’ di Booth Pameran INTURA sempena Program JPA4U@INTURA

Beberapa pelajar sekolah sedang dibantu oleh Pegawai INTURA dalam aktiviti Kreativiti dan Penyelesaian Masalah

Ustaz Mohammad Syaari Abd Rahman sedang meyampaikan ceramah bertajuk
Memperkasa Perhubungan Inter-Generasi : Merapatkan Jurang Perbezaan
di Wacana Transformasi Kepimpinan Muda

Orang awam memenuhi ruang Pameran informasi dan jualan barangan Angkasawan Negara di Bilik Abdullah Munshi

Peserta sedang mencuba menggunakan peralatan Simulasi penerbangan untuk merasai pengalaman memandu pesawat secara simulasi

Perkongsian pengalaman bersama Angkasawan Negara Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor sempena Program JPA4U@INTURA

Demontrasi ketrampilan diri disampaikan oleh Puan Siti Fairus sempena Program JPA4U@INTURA

Demontrasi muzik menggunakan peralatan kitar semula yang dimainkan oleh kumpulan Stargazer

Tetamu Kehormat yang hadir semasa Majlis Perasmian JPA4U@INTURA ialah Tan Sri KPPA, Pengarah INTAN Malaysia dan Dato’ G. Subramaniam dari Kementerian Kewangan Malaysia

YBhg. Pengarah INTAN menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Perasmian JPA4U@INTURA

Tetamu yang hadir sempena Majlis Perasmian JPA4U@INTURA di Dataran INTURA

YBhg. Tan Sri KPPA menyampaikan ucapan perasmian sempena Majlis Perasmian JPA4U@INTURA

Pelajar Tadika Perpaduan INTURA memberikan replika bumi kepada YBhg. Tan Sri KPPA sebagai simbolik untuk “selamatkan bumi” sempena pelancaran Go Green

Gimik Pelancaran JPA4U@INTURA oleh YBhg. Tan Sri KPPA yang bertemakan Go Green

YBhg. Tan Sri KPPA memasukkan barangan yang boleh dikitar semula ke dalam tong kitar semula

YBhg. Tan Sri KPPA menyumbangkan hasil jualan barangan kitar semula ke Tabung Go Green INTURA

YBhg. Tan Sri KPPA melawat ke Booth Pameran dan Gerai Jualan yang dikendalikan oleh Lembaga kemajuan Pertanian Muda (MADA)

YBhg. Tan Sri KPPA melihat peralatan yang digunakan untuk aktiviti teambuilding di Booth Pameran INTURA

YBhg. Tan Sri KPPA menandatangai Buku Tetamu INTURA sempena Program JPA4U@INTURA

Pengarah INTAN menyampaikan Album kepada YBhg. Tan Sri KPPA sebagai cenderamata sempena Program JPA4U@INTURA

Berkongsi pandangan tentang foto memori aktiviti YBhg. Tan Sri KPPA di INTURA

Anggota Bomba bersalaman dengan YBhg. Tan Sri KPPA ketika Tan Sri melawat ke Booth Pameran Bomba

YBhg. Tan Sri KPPA melawat Bas Bergerak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang dipenuhi produk pertanian

YBhg. Tan Sri KPPA melawat Bas Pameran Penjara


Sunday, November 9, 2014

LEBIH 200 PENJAWAT AWAM SERTAI 'EKSPLORASI TRANSFORMASI 2014'

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Lebih 200 penjawat awam dengan 65 kereta menyertai program kembara mencari harta karun "Eksplorasi Transformasi 2014' bermula dari perkarangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini ke Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Bukit Kiara, Kuala Lumpur. 

Ketua Pengarah JPA Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal melepaskan acara itu yang disertai wakil pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
 

Menurut kenyataan JPA yang diedarkan pada majlis itu para peserta akan menguji kreativiti dan kebijaksanaan masing-masing dalam kembara atau 'treasure hunt' berkenaan bertemakan patriotisme dan bahasa kebangsaan.
 

"Semangat dan persaingan sihat seumpama ini yang kita perlukan dalam kalangan penjawat awam untuk melaksanakan transformasi berterusan," menurut kenyataan itu.
 

Aktiviti anjuran Bahagian Transformasi Sektor Awam JPA dengan kerjasama Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Intan Bukit Kiara dan Kelab JPA itu bertujuan menyebarluaskan agenda transformasi negara.
 

Selain itu ia berhasrat mengukuhkan semangat kekitaan dalam kalangan penjawat awam bagi menyokong program transformasi perkhidmatan awam. Mohamad Zabidi akan menyampaikan hadiah di Kompleks di Intan, Bukit Kiara.
 

Bernama Online

Berita@INTURA Oktober 2014

Sila klik imej di bawah untuk paparan sebenar





Thursday, November 6, 2014

PENJAWAT AWAM JADI JURUCAKAP PELAKSANAAN CBP KEPADA RAKYAT

KOTA KINABALU, 5 Nov (Bernama) -- Penjawat awam di Malaysia yang berjumlah 1.52 juta orang perlu memainkan peranan sebagai jurucakap kerajaan khususnya untuk menerangkan kepada orang ramai mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) pada April tahun depan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata usaha itu membolehkan penjawat awam memperluaskan peranan untuk menerangkan dasar itu kepada keluarga, masyarakat dan komuniti serta rakyat di semua peringkat.

"Apa yang penting adalah penjawat awam merupakan penggerak utama untuk melaksanakan dasar kerajaan dengan memberi pemahaman mendalam tentang CBP," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah myGST4U di Dewan Serbaguna, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di sini, Rabui.

Program Jelajah myGST4U merupakan inisiatif terbaharu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha menyebarkan maklumat berkaitan dasar kerajaan khususnya CBP.

Mohamad Zabidi percaya pemahaman di kalangan penjawat awam khususnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Jabatan Penerangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berada di tahap lebih baik berbanding sebelum ini.

"Setakat ini, pemahaman tentang CBP dilihat lebih baik dan menyerlah berbanding sebelum penerangan ini berpandukan kepada soalan yang diutarakan, mereka faham tentang CBP dan kenapa CBP diperkenalkan berbanding cukai sebelum ini," katanya.

Terdahulu, beliau berkata Sabah merupakan negeri kedua bagi program turun padang JPA dalam usaha membantu menyebarkan agenda, dasar serta program transformasi kerajaan kepada rakyat.

"Sesungguhnya, pelaksanaan CBP tidak akan berjaya tanpa sokongan dan peranan yang perlu dimainkan oleh semua penjawat awam kerana mereka bertanggungjawab untuk membantu kerajaan memperbetulkan persepsi salah mengenai CBP di kalangan penjawat awam sendiri dan menyebar luas kebaikan cukai itu," katanya.

Mohamad Zabidi berkata penjawat awam masih mengamalkan nilai integriti yang tinggi meskipun terdapat segelintir anggota penguatkuasa yang terbabit dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Program itu disertai lebih 1,500 penjawat awam negeri daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta badan berkanun negeri.

Bernama Online

Saturday, November 1, 2014

klik imej untuk paparan sebenar