Sunday, November 9, 2014

LEBIH 200 PENJAWAT AWAM SERTAI 'EKSPLORASI TRANSFORMASI 2014'

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Lebih 200 penjawat awam dengan 65 kereta menyertai program kembara mencari harta karun "Eksplorasi Transformasi 2014' bermula dari perkarangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini ke Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Bukit Kiara, Kuala Lumpur. 

Ketua Pengarah JPA Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal melepaskan acara itu yang disertai wakil pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
 

Menurut kenyataan JPA yang diedarkan pada majlis itu para peserta akan menguji kreativiti dan kebijaksanaan masing-masing dalam kembara atau 'treasure hunt' berkenaan bertemakan patriotisme dan bahasa kebangsaan.
 

"Semangat dan persaingan sihat seumpama ini yang kita perlukan dalam kalangan penjawat awam untuk melaksanakan transformasi berterusan," menurut kenyataan itu.
 

Aktiviti anjuran Bahagian Transformasi Sektor Awam JPA dengan kerjasama Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Intan Bukit Kiara dan Kelab JPA itu bertujuan menyebarluaskan agenda transformasi negara.
 

Selain itu ia berhasrat mengukuhkan semangat kekitaan dalam kalangan penjawat awam bagi menyokong program transformasi perkhidmatan awam. Mohamad Zabidi akan menyampaikan hadiah di Kompleks di Intan, Bukit Kiara.
 

Bernama Online

No comments: