Sunday, November 16, 2014

JANGAN TUNGGU RAKYAT MINTA BANTUAN, KATA KSN KEPADA PENJAWAT AWAM

SUNGAI BESAR, 15 Nov (Bernama) -- Jabatan dan agensi kerajaan perlu mencari dan memberi perkhidmatan serta bantuan kepada rakyat dan bukan hanya menunggu rakyat meminta bantuan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. 

Mereka perlu mengambil langkah proaktif dengan memperbanyak program turun padang bersama masyarakat agar perkhidmatan dan bantuan daripada kerajaan dapat disalurkan kepada golongan sasaran dengan lebih cepat.
 

"Penjawat awam tidak mengira jawatan atau pangkat perlu sanggup meluangkan masa dan mengorbankan keselesaan bekerja di pejabat untuk pergi berjumpa orang ramai di kampung dan bandar kecil untuk memberi perkhidmatan kepada mereka.
 

"Seperti contoh kita jangan terlalu berharap orang yang memerlukan bantuan akan sendiri pergi ke mana-mana jabatan kebajikan, kita sebagai petugas perlu turun padang mencari maklumat individu yang memerlukan bantuan," katanya.
 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Dewan Sri Bernam di sini Sabtu.
 

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Seri Ismail Ahmad.
 
Dalam program itu, 533 warga emas di sekitar kawasan itu memperoleh lesen motosikal masing-masing.
 

Bernama Online

No comments: