KOTA BAHARU, 26 Nov (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menyifatkan kerjasama erat antara agensi kerajaan sebagai penentu kepada kejayaan sesuatu operasi seperti banjir, bencana dan kemalangan.
Pengarahnya Azmi Osman berkata peralatan yang canggih dan berkualiti tinggi bukan penjamin untuk memastikan setiap operasi itu dapat diuruskan dengan baik tanpa kerjasama yang erat antara agensi lain.
Ini termasuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), katanya.
"Agensi kerajaan yang ada di negeri ini hari ini bekerjasama dengan baik dan ini menjadikan sesuatu operasi itu dapat dijalankan dengan cepat dan berkesan," katanya kepada pemberita selepas Latihan Bencana Berskala Besar JBPM Kelantan 2014 di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan di Kuala Besar di sini, Rabu.
Latihan selama dua hari itu melibatkan 370 anggota daripada pelbagai agensi termasuk PDRM, MKN, HRPZ II dan Majlis Perbandaran Kota Baharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) itu bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan anggota dalam menghadapi sebarang bencana.
Katanya, latihan juga bertujuan menguji kemampuan komander operasi dalam melaksanakan sistem pengurusan bencana mengikut sistem pengurusan yang diguna pakai masa kini.
"Ia juga akan memberi pendedahan dan pengetahuan serta kemahiran kepada pegawai kanan dan anggota bomba di balai-balai berkaitan aspek pengurusan bencana melibatkan unit-unit khas," katanya.
Bernama Online
No comments:
Post a Comment