Thursday, November 6, 2014

PENJAWAT AWAM JADI JURUCAKAP PELAKSANAAN CBP KEPADA RAKYAT

KOTA KINABALU, 5 Nov (Bernama) -- Penjawat awam di Malaysia yang berjumlah 1.52 juta orang perlu memainkan peranan sebagai jurucakap kerajaan khususnya untuk menerangkan kepada orang ramai mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) pada April tahun depan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata usaha itu membolehkan penjawat awam memperluaskan peranan untuk menerangkan dasar itu kepada keluarga, masyarakat dan komuniti serta rakyat di semua peringkat.

"Apa yang penting adalah penjawat awam merupakan penggerak utama untuk melaksanakan dasar kerajaan dengan memberi pemahaman mendalam tentang CBP," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah myGST4U di Dewan Serbaguna, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di sini, Rabui.

Program Jelajah myGST4U merupakan inisiatif terbaharu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha menyebarkan maklumat berkaitan dasar kerajaan khususnya CBP.

Mohamad Zabidi percaya pemahaman di kalangan penjawat awam khususnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Jabatan Penerangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berada di tahap lebih baik berbanding sebelum ini.

"Setakat ini, pemahaman tentang CBP dilihat lebih baik dan menyerlah berbanding sebelum penerangan ini berpandukan kepada soalan yang diutarakan, mereka faham tentang CBP dan kenapa CBP diperkenalkan berbanding cukai sebelum ini," katanya.

Terdahulu, beliau berkata Sabah merupakan negeri kedua bagi program turun padang JPA dalam usaha membantu menyebarkan agenda, dasar serta program transformasi kerajaan kepada rakyat.

"Sesungguhnya, pelaksanaan CBP tidak akan berjaya tanpa sokongan dan peranan yang perlu dimainkan oleh semua penjawat awam kerana mereka bertanggungjawab untuk membantu kerajaan memperbetulkan persepsi salah mengenai CBP di kalangan penjawat awam sendiri dan menyebar luas kebaikan cukai itu," katanya.

Mohamad Zabidi berkata penjawat awam masih mengamalkan nilai integriti yang tinggi meskipun terdapat segelintir anggota penguatkuasa yang terbabit dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Program itu disertai lebih 1,500 penjawat awam negeri daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta badan berkanun negeri.

Bernama Online

No comments: