Thursday, November 20, 2014

Pengurusan Rekod Maklumat Penentu Akauntabiliti Dan Integriti Penjawat Awam

KUALA TERENGGANU, 19 Nov (Bernama) -- Pengurusan rekod maklumat dengan betul dan sahih akan menentukan akauntabiliti dan integriti penjawat awam serta pentadbiran kerajaan itu sendiri, kata Ketua Pengarah Arkib Negara Azemi Abdul Aziz.

Beliau berkata adalah penting untuk semua penjawat awam memahami pengurusan rekod secara profesional dan bukan sekadar operasinya sahaja.

"Jika salah kita merekod, menyampaikan dan menyimpan maklumat maka salahlah maklumat yang diterima dan digunakan. Kalau kita tidak dapat merujuk rekod dengan cepat, kita akan menjadi kurang cekap dan lambat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penutupan Program Cakna Pengurusan Rekod Awam bagi Zon Timur yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mazlan Ngah di sini pada Rabu.

Program berkenaan, kedua selepas Zon Utara yang diadakan pada April lepas, disertai 800 pegawai dan pengurus rekod di jabatan dan agensi kerajaan dari Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Azemi berkata kecekapan operasi dalam menguruskan rekod adalah asas kepada transaksi kerajaan dalam melaksanakan tugas, dan ia menggambarkan kualiti dalam penyampaian perkhidmatan yang disalur oleh jabatan serta agensi kerajaan.

Justeru, beliau berkata program seumpama itu yang dianjurkan Arkib Negara sebagai pengemudi dalam bidang pengurusan rekod, merupakan pendekatan baharu yang strategik dan efektif dalam meningkatkan kesedaran penjawat awam untuk memelihara rekod kerajaan yang bernilai sebagai memori institusi.

"Rekod yang diwujudkan penjawat awam bukan sahaja digunakan untuk memudahkan urusan kerja harian tetapi rekod ini akan menjadi khazanah penting kepada negara pada masa akan datang.

"Malah rekod tersebut akan menjadi bahan bukti penting yang tidak ternilai harganya yang boleh mengangkat nilai jati diri dan kedaulatan sesebuah negara," katanya.

Bernama Online

No comments: