PUTRAJAYA 29 Mei - Lapan kementerian berjaya mencapai sasaran 100 peratus Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) bagi tahun lepas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kementerian itu ialah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar; Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Luar; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air; Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pencapaian KPI tersebut selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang pertama sejak pelancaran Hala Tuju Transformasi Ekonomi 2.0 dan Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) pada 19 April lalu di sini, hari ini.
Katanya, sebanyak 93 KPI PEB, yang diperakukan MEB, yang mempunyai impak tinggi, lebih bersifat berasaskan hasil dengan sasaran yang lebih tinggi telah ditetapkan untuk 25 kementerian, termasuk Jabatan Perdana Menteri bagi tahun lalu.
“Kita mengambil maklum bahawa 23 kementerian telah mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus sasaran KPI yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, antara pencapaian utama PEB kementerian dan agensi bagi 2016 adalah apabila sebanyak 63.8 peratus nilai anggaran kerja tahunan telah diperuntukkan kepada kontraktor bumiputera dalam projek pembinaan lebuh raya utama seperti Lebuhraya Pantai Barat (WCE), Duta Ulu Klang Expressway 2 (DUKE2), Lebuhraya Ekspres Lembah Klang Timur (EKVE) dan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).
Yang lain ialah nilai kontrak sebanyak RM1.48 bilion diberikan kepada syarikat bumiputera bagi Projek KL118 Tower (Warisan Merdeka); peningkatan penglibatan syarikat bumiputera dalam Program Pembangunan Vendor; peningkatan peratusan bumiputera dalam pemilikan unit kediaman rumah dan secara kumulatif, jumlah keseluruhan perolehan koperasi bumiputera telah meningkat kepada RM31 bilion dengan peningkatan sebanyak RM2.44 bilion pada tahun lalu.
Najib berkata, KPI PEB kementerian untuk tahun ini pula adalah selari dengan strategi dan sasaran Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0.
Menurutnya, sebanyak 125 KPI Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera telah diperakukan oleh MEB bagi semua kementerian dan Jabatan Perdana Menteri yang berimpak tinggi dan bersifat ‘berasaskan keputusan’ yang ditetapkan.
“KPI Agenda Pemerkasaan Bumiputera (BEA) bagi 2017 akan memberi tumpuan khusus dalam bidang pembangunan vendor, rantaian bekalan bumiputera dalam sektor strategik, program latihan di bawah Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), pembangunan rumah mampu milik serta pengenalan dan penambahbaikan polis bagi pengagihan khusus dan pemerolehan bumiputera,” katanya.
Bagi pencapaian KPI 2016 melibatkan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan terpilih (G20), Najib memaklumkan bahawa lima GLIC and 17 G20 telah mempamerkan satu tahap kematangan dengan hasil yang positif dan lebih memberangsangkan sejak program itu dilaksanakan pada 2014.
Di bawah pelaksanaan KPI BEA GLIC dan G20, tujuh bidang utama terlibat ialah program pembangunan vendor, syarikat utama untuk rantaian bekalan pengagihan khusus, modal insan, pemilikan aset bukan kewangan, pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat serta pemerolehan, katanya.
Sementara itu, lebih 2,000 hadir dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Seri Perdana, Putrajaya, malam ini.
Majlis itu disertai sama oleh menteri-menteri Kabinet, menteri besar dan ketua menteri, duta-duta serta para pemimpin kanan kerajaan.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa. – BERNAMA
Antara pencapaian utama yang dicatatkan pada tahun lalu adalah menyerapkan 72 vendor baharu ke dalam Program Pembangunan Vendor berbanding 49 vendor baharu pada 2015, melatih lapan vendor bertaraf jaguh nasional dan satu vendor bertaraf jaguh serantau; melatih 11,888 siswazah di bawah SL1M berbanding 6,422 pada 2015, katanya
“Selain itu, membina 3,476 rumah mampu milik berbanding 213 rumah pada 2015 dan nilai pemerolehan dari syarikat Bumiputera berjumlah RM13.4 bilion berbanding RM11.8 bilion pada 2015,” katanya.
Najib berkata secara keseluruhan, nilai inisiatif untuk Bumiputera pada tahun lalu berjumlah RM42.1 bilion berbanding RM30.0 bilion pada 2015, manakala syarikat GLIC dan G20 turut mencatat pencapaian 95.3 peratus sasaran KPI BEA pada tahun lalu.
“Untuk 2017, sasaran KPI BEA adalah lebih tinggi berbanding 2016, di mana KPI yang dirancang akan memberi fokus kepada aspek kualiti, bersifat berdasarkan keputusan serta diselaraskan mengikut operasi teras GLIC dan G20 itu sendiri,” katanya.
Antara inisiatif yang disasarkan adalah untuk menyerapkan 25 vendor baharu serta melahirkan 31 jaguh nasional dan dua jaguh serantau, selain melatih seramai 12,690 siswazah di bawah program SL1M serta membangunkan 1,150 buah rumah mampu milik dan menambah baik polisi pemerolehan dan mesra-PKS (perusahaan kecil dan sederhana) dengan nilai sasaran RM11.1 bilion.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga memaklumkan Khazanah Nasional selaku urus setia program akan terus memperkemas struktur penyampaian dan pelaksanaan BEA bagi memastikan manfaat serta kesannya dapat dirasai masyarakat Bumiputera.
Bernama Online
No comments:
Post a Comment