Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, setiap individu perlu mempunyai jati diri yang kukuh agar tidak mudah terjebak dengan perilaku tidak sihat itu.
“Ingin saya tegaskan, jangan sesekali berkompromi dengan jati diri sendiri terutama melibatkan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan keburukan kepada integriti diri.
“Janganlah mudah terpesona dengan pelbagai dugaan terutama melibatkan wang ringgit kerana ini boleh memberi impak yang buruk bukan hanya kepada individu terlibat malah semua penjawat awam akan dituduh bersifat sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ber­ucap dalam majlis Anugerah Per­khidmatan Cemerlang 2016 Pentadbiran Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.
Mohamad berkata, setiap penjawat awam di negeri ini perlu berusaha untuk meraih kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat yang dilihat semakin hilang ekoran beberapa kes salah laku melibatkan segelintir golongan itu sejak kebelakangan ini.
Justeru katanya, penjawat awam perlu memiliki nilai integriti tinggi dan sentiasa bersyukur dengan pendapatan sedia ada serta tidak membandingkan kemampuan kewangan mereka dengan individu lain.
Sementara itu, seramai 522 kakita­ngan dari 37 agensi pentadbiran ke­rajaan negeri menerima anugerah per­khidmatan cemerlang bagi tahun 2016.
Daripada jumlah tersebut, se­ramai 298 merupakan penerima jabatan ne­geri dan 224 daripada badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Mereka menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang serta hadiah prestasi berjumlah RM1,000 tunai.

Utusan Malaysia Online