Friday, May 19, 2017

Pengambilan PTD diperbaiki untuk basmi rasuah

Tan Sri Dr. Ali Hamsa

KUALA LUMPUR 18 Mei – Kaedah pengambilan kakitangan awam khususnya bahagian pengurusan dan profesional seperti pegawai tadbir dan dipliomatik (PTD) akan ditambah baik dalam usaha mencegah penjawat awam daripada terlibat dalam aktiviti ra­suah dan penyalahgunaan kuasa.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, peringkat pengambilan merupakan tapisan terpenting dalam menilai individu yang benar-benar berkelayakan bagi menyertai perkhidmatan awam dan kerajaan sentiasa meneliti kaedah terbaik dalam menentukan seseorang calon itu layak atau tidak.
Beliau bagaimanapun menga­kui usaha membasmi rasuah dalam kalangan kakitangan awam adalah rumit untuk dilakukan kerana seseorang penjawat awam itu hanya menunjukkan sikap dan tindakan yang melanggar integriti kerja setelah lama berada di dalam perkhidmatan.
“Semasa mula berkhidmat seseorang itu nampak baik, tetapi mula berubah sikap setelah berada dalam perkhidmatan. Sebanyak 300 PTD diterima masuk semasa pengambilan daripada hampir 100,000 yang memohon dan banyak langkah penilaian dilakukan sebelum mereka diterima.
“Namun jika didapati bersalah, mereka akan terus dibuang kerja dan hilang hak-hak yang diperolehi sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas me­ngadakan lawatan ke SJKT Jalan Fletcher di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin yang menahan 414 individu atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun ini, dengan 191 daripadanya me­rupakan penjawat awam.
Menurut SPRM, 13 daripada penjawat awam tersebut memegang jawatan peringkat pengurusan tertinggi, 44 daripada peringkat pengurusan dan profesional, manakala 134 pula adalah kumpulan pelaksana.
Kata Ali lagi, walaupun jumlah penahanan itu adalah kecil berbanding keseluruhan 1.6 juta bilangan kakitangan awam, beliau menegaskan kerajaan tetap mengambil serius perkara tersebut.
“Tidak kira sama ada jumlahnya kecil atau besar, selagi berkaitan dengan rasuah perhatian perlu diberikan. Kita mahu perkhidmatan awam sifar daripada rasuah,” katanya.
Mengenai lawatan ke sekolah Tamil itu, Ali berharap syarikat-syarikat swasta terus membantu kerajaan untuk menaik taraf dan membaik pulih sekolah-sekolah dan klinik kesihatan yang berada dalam keadaan daif secara tanggungjawab sosial korporat (CSR), demi membantu kerajaan mempertingkatkan tahap penyampai­an kepada rakyat.

Utusan Malaysia Online

No comments: