Pelbagai cerita penulis dengar dan sudah tentu paling ‘panas’ ialah penahanan beberapa pegawai dan anggota pasukan itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat dalam salah guna kuasa dan rasuah.
ANGGOTA polis membacakan ikrar pada Majlis Perhimpunan Bulanan Mei 2017 Ibu pejabat Polis KontinjenJohor, baru-baru ini. 

Tindakan itu dikatakan sedikit sebanyak melemahkan semangat pegawai dan anggota PDRM yang merasakan, “...kenapakah kami sahaja yang menjadi sasaran”. Namun begitu mereka bersetuju dengan ketegasan SPRM dalam membersihkan semua agensi penguat kuasa daripada jenayah tersebut.
Sebenarnya, SPRM tidak harus dipersalahkan. Pada masa sama, bukan semua pegawai dan anggota PDRM terlibat dalam akti­viti mencari wang secara haram tersebut. Penahanan yang dilakukan SPRM sudah pasti berdasarkan kepada maklumat serta bukti mencukupi bukannya sekadar ‘tangkap suka-suka’ bagi tujuan mencari publisiti.
Apa yang berlaku dalam PDRM bukanlah perkara baharu khususnya melibatkan aktiviti judi haram. Kalau kita masih ingat, kegiatan tersebut telah didedahkan secara agresif oleh Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia sejak dua tahun lalu, namun tindakan ketika itu ibarat ‘melepas batuk di tangga sahaja’. Amaran kononnya akan menukar mana-mana pegawai yang kawasan mereka mempunyai kegiatan judi haram, hanyalah sekadar retorik.
Semua orang tahu ini berlaku kerana salah guna kuasa dan ra­suah dalam kalangan penguat kuasa, tetapi orang tertanya-ta­nya kalau itulah puncanya kenapa tidak ada tindakan sehingga memungkinkan gejala itu bertambah serius.
Pada masa sama, mereka yang sudah selesa menjamah wang haram itu merasakan sentiasa terlepas daripada sebarang tindakan. Mereka menikmati hasil salah guna kuasa dan rasuah itu tanpa bimbang.
Kelompok inilah yang mencemarkan nama baik PDRM. Sehinggakan orang mengaitkan seolah-olah salah guna kuasa dan rasuah tidak boleh dipisahkan daripada pasukan itu sedangkan yang melakukan perbuatan ha­ram tersebut segelintir sahaja.
Kini SPRM terpaksa bertindak demi membersihkan PDRM. Mana-mana pegawai dan anggota PDRM tidak perlu lemah semangat dengan apa yang terjadi kerana apa yang dilakukan adalah demi kebaikan pasukan itu juga.
PDRM tidak boleh membiarkan ada ‘parasit’ yang akhirnya akan meruntuhkan pasukan tersebut. Kasihanilah ribuan lagi pegawai dan anggota yang komi­ted untuk menyara keluarga mereka dengan rezeki halal.
Perbuatan salah guna kuasa dan rasuah hanya dilakukan oleh kelompok pegawai dan anggota yang tamak. Bak kata seorang kawan, ketika di pusat latihan mereka begitu bersema­ngat mahu bertugas demi bangsa, agama dan negara, tetapi apabila mula bertugas dan memahami kuasa dimiliki mulalah mereka ‘buat perangai’.
“Selalunya yang buat ni pegawai-pegawai muda atau mereka yang merasakan sudah menjadi ‘taiko’ di satu-satu kawasan, walaupun jumlah mereka tidak ramai tetapi sudah cukup boleh mencemarkan nama baik PDRM,’’ kata seorang teman.
Atas sebab itulah, pegawai dan anggota PDRM perlu menghargai tindakan SPRM. Sebagai manusia, kita tidak boleh menafikan mereka berasa kecewa kerana melalui penahanan yang berlaku seolah-olah PDRM teruk sangat, tetapi bukan itu niat SPRM.
Agensi itu terpaksa bertindak kerana tidak mahu mana-mana pegawai dan anggota pasukan itu menjadi ‘hamba’ kepada sindiket. Kalau mereka mahu juga menjamah wang haram itu soal mereka, tetapi janganlah seret nama baik PDRM.
Ini memandangkan adalah tidak adil kepada pegawai dan anggota yang jujur serta bersih terheret sama ‘dikategorikan’ oleh masyarakat sebagai pengamal rasuah dan melakukan salah guna kuasa. Kita tahu ribuan antara mereka bertugas siang dan malam dengan penuh dedikasi menjaga keselamatan negara, malah ada antara mereka bergadai nyawa di lautan dan sempadan.
Jangan biarkan nila setitik mencemarkan pengorbanan pe­ga­wai dan anggota berkenaan. Parasit dalam PDRM perlu dihapuskan. Mereka yang sanggup menggadaikan maruah, menjual pangkat dan melacurkan kuasa dengan bersekongkol dengan sindiket tidak ada tempat dalam pasukan tersebut.
Setakat ini, tindakan SPRM mendapat reaksi positif di peringkat pengurusan PDRM manakala di peringkat bawah pula, sudah ada pemahaman kenapa SPRM terpaksa bertindak.
Penulis yakin walaupun dilihat mustahil tetapi seperti mana kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ini boleh dilakukan kerana PDRM komited dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
Banyak perkara yang perlu dilihat semula oleh PDRM untuk memastikan tiada lagi ‘parasit’ dalam pasukan tersebut. Ini termasuklah soal tempoh pe­nempatan pegawai dan tindakan serta-merta ke atas pegawai dan anggota disyaki terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.
Setakat ini, PDRM memberi reaksi positif dengan melakukan rombakan dan pertukaran beberapa pegawai kanannya. Apa yang diharapkan tindakan seumpama ini akan berterusan dan bukannya ‘hangat-hangat tahi ayam’.
Dan tumpuan janganlah hanya kepada pegawai-pegawai ‘peringkat bawah’ sahaja, yang di peringkat pengurusan kanan pun kena ‘tengok-tengok juga’ dalam usaha memastikan PDRM ‘bersih’ dari atas ke bawah.

Utusan Malaysia Online