Friday, May 26, 2017

Kaji cadangan guna poligraf


Tan Sri Dr. Ali Hamsa

KUALA LUMPUR 25 Mei - Kerajaan akan meneliti cadangan penggunaan alat uji bohong atau poligraf sebagai salah satu mekanisme pencegahan untuk menangani gejala rasuah dalam perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa (gambar) berkata, pihak­nya bersedia untuk mengkaji sebarang cadangan yang dikemukakan mana-mana pihak bagi meningkatkan integriti dalam kalangan penjawat awam.
Beliau memberitahu, pada masa ini kerajaan telah melakukan pelbagai tapisan untuk pengambilan penjawat awam bagi memastikan mereka yang berkelayakan diambil bekerja.
“Sebagai contoh, ta­­pisan pengambilan per­khidmatan Pegawai Tad­bir dan Diplomatik (PTD) akan melalui beberapa peringkat serta perlu mengikuti kursus selama setahun bagi memastikan mereka benar-benar layak.
“Walau bagaimanapun, pada peringkat awal mungkin kita tidak nampak ada tanda-tanda rasuah, tetapi mungkin ada kes selepas beberapa tahun ada yang terlibat dalam gejala itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Kelestarian Kampus Hijau di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.
Sementara itu, menjawab isu berkaitan tangkapan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penjawat awam, Ali berkata, gejala rasuah dalam perkhidmatan awam tidak berada dalam keadaan yang mencemaskan.
“Kita mempunyai 1.6 juta penjawat awam dan jumlah yang kita lihat SPRM tahan masih tidak mencemaskan.
“Walau bagaimanapun, kerajaan mahukan sifar rasuah dalam perkhidmatan awam dan kita akan terus menjalankan program-program untuk mencegah gejala rasuah seperti mewujudkan unit integriti dalam setiap kementerian,” jelasnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) agar kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus raya sekurang-kurangnya RM1,000, Ali berkata, pihaknya akan menunggu keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Utusan Malaysia Online

No comments: