Secara peribadi, penulis be­rasa agak janggal setiap kali melihat imej penguat kuasa dan pegawai kerajaan dengan tangan bergari dibawa masuk ke mahkamah menerusi kaca televisyen dan akhbar.
Ini kerana sebelum ini mereka pastinya pegawai yang sentiasa tampil berpakaian kemas, bertali leher dan kot semasa di pejabat atau segak mengenakan uniform penguat kuasa sehinggalah perbuatan mereka berjaya dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Maka apabila sudah terpa­lit dengan tuduhan rasuah, mereka tidak ada bezanya dengan tertuduh lain yang perlu memakai baju oren tertera perkataan ‘Lokap SPRM’.
Begitulah hukum undang-undang, sekali terjebak de­ngan perlakuan jenayah me­reka perlu dibicarakan tanpa mengira pangkat, status dan kedudukan sebelum ini. Sudah tentu tindakan SPRM membongkar salah laku da­lam perkhidmatan awam ini perlu diberi sokongan penuh dan dilihat secara positif.
Walaupun kita tahu bahawa jumlah pelaku rasuah dalam ka­langan penjawat awam adalah kecil, namun sedikit sebanyak perkembangan yang berlaku memberi gambaran kurang baik terhadap perkhidmatan awam.
Seperti kata pepatah ‘kera­na nilai setitik, rosak susu se­be­langa.’ Perbuatan seorang atau dua kakitangan yang terlibat dengan rasuah, mahu tidak mahu akan menyebabkan se­sebuah agensi atau jabatan di­momokkan dan dipandang serong oleh orang ramai.
Keyakinan masyarakat a­kan terhakis sehingga timbul per­sepsi bahawa itu amalan biasa dalam kalangan kakitangan da­lam jabatan terbabit, walaupun realitinya masih ramai penjawat awam yang menjalankan tugas dengan amanah, jujur dan penuh tanggungjawab.
Di media sosial kita boleh melihat ramai yang melahirkan rasa kecewa kerana ada pengu­at kuasa yang sepatutnya di­amanahkan membanteras judi turut sama terpalit dan bersekongkol dengan pengusaha judi dengan bayaran lumayan.
Begitu juga apabila terdapat pegawai tinggi yang diberi tanggungjawab dalam kelulusan sesuatu kontrak kerajaan mengambil duit kopi atau ko­misyen untuk poket sendiri.
Semuanya itu dilakukan semata-mata untuk memuaskan tuntutan nafsu kerana mahu hidup mewah sehingga sanggup mengambil wang secara haram sedangkan gaji mereka tidak mampu menyara gaya hidup tersebut.
Dalam hal ini, penulis bersetuju dengan ingatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini supaya penjawat awam mempunyai integriti dan tidak ‘menjual diri’ mereka sehingga diperalatkan oleh pihak yang mahu mengambil kesempatan.
“Jati diri kena kuat, ja­ngan letak ‘tanda harga’ di dahi kita. Kalau itu berlaku, bermak­na kita tak ada harga diri. Elakkan diri da­­ripada terjebak dengan rasuah sehingga menjejaskan maruah dan harga diri.
“Jangan suka melihat apa yang orang lain miliki. Dalam hal kekayaan dan harta benda ini, saya pesan kepada penjawat awam supaya sentiasa lihat ke ‘bawah’. Ramai lagi orang miskin, tidak mampu dan terkial-kial meneruskan hidup berban­ding mereka,” ka­tanya.

Utusan Malaysia Online