Sepanjang tahun 2016 hingga Februari lalu sahaja, Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sebanyak 665 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penjawat awam. Dilaporkan daripada jumlah itu, seramai 548 penjawat awam ditangkap manakala 63 kes lagi telah dituduh di mahkamah.
Saya sering membangkitkan soal integriti dan rasuah ke­rana kedua-duanya penting ditangani dengan baik sebelum menjadi barah yang bakal merosakkan pentadbiran kerajaan dan melumpuhkan ekonomi negara. Malang sekali, keprihatinan dan kesedaran mengenai ra­suah dalam kalang­an masyarakat masih berada di tahap yang rendah dan kita perlu melakukan sesuatu untuk meningkatkannya.
Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) misalnya turut merosot ke tangga ke-55 tahun lepas berbanding tangga 54 pada 2015. Perbandingan dibuat dengan 176 buah negara.
Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar dilaporkan berkata, Malaysia hanya mencatat skor 49 daripada 100 dalam tinjauan CPI.
Berbanding negara ASEAN lain, Malaysia berada di bawah Singapura (kedudukan ketujuh) dan Brunei (ke-41) namun di atas Indonesia (ke-90), Filipina (ke-101), Thailand (ke-101), Vietnam (ke-113), Laos (ke-123), Myanmar (ke-136) dan Kemboja (ke-156).
Saya percaya budaya kerja yang diterapkan dengan nilai-nilai murni perlu menjadi amalan dan bukannya sekadar slogan dan janji yang diikrarkan saban tahun.
Mereka yang mempunyai jawatan, termasuk ahli politik dan ahli perniagaan berjaya, juga perlu diingatkan supaya tidak menyalahgunakan kedudukan, kuasa dan kekayaan untuk merasuah penjawat awam. Mereka juga boleh dikenakan tindakan oleh SPRM jika melakukan kesalahan tersebut.
Pada masa sama, orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu memainkan peranan ­memerangi rasuah dengan membuat laporan kepada SPRM jika sebarang mempunyai maklumat berkaitan ­rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Berdasarkan pe­merhatian saya, tahap integriti masyarakat di negara ini semakin berkurangan dan perkembangan ini agak membimbangkan.
Usaha membasmi masalah rasuah dalam negara wajar melibatkan penguatkuasaan semua undang-undang berkaitan dan hukuman berat perlu dijatuhkan agar mereka serik untuk melakukan rasuah selain menjadi pengajaran kepada masyarakat umum.
Pendedahan awal mengenai kesalahan serta kesan negatif rasuah juga perlu disemai dalam kalangan murid dengan menerapkannya di dalam sukatan pelajaran di sekolah termasuk mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.
Setiap agensi dan jabatan juga perlu mempunyai sistem pemantauan dalaman yang mampu mengesan sebarang elemen rasuah dalam organisasi. Pada masa sama, pihak berkuasa boleh menggunakan indikator hidup mewah untuk mengenal pasti mereka yang berbelanja melebihi pendapatan sebenar.
Agensi berkaitan juga boleh menyediakan perkhidmatan dalam talian bagi mengurangkan interaksi dan ke­renah birokrasi yang membuka peluang untuk memin­ta dan memberi suapan.
Kita juga harus menyokong saranan supaya penjawat-penjawat tinggi kerajaan termasuk ahli Kabinet mengisytiharkan aset secara terus kepada SPRM.
Selain itu, kesedaran mengenai bahaya rasuah perlu diperluaskan seperti berikut:
i) Mewujudkan media yang bebas dan telus melaporkan kegiatan rasuah,
ii) Meningkatkan akses rakyat terhadap maklumat khususnya di kawasan luar bandar;
iii) Menggalakkan perbincangan dan wacana mengenai isu-isu integriti dan penyalahgunaan kuasa.
iv) Membangunkan kesedaran sivik yang lebih tinggi demi untuk memupuk budaya ketelusan, akauntabiliti dan integriti di kalangan rakyat;
v) Menggalakkan universiti dan institusi pengajian memupuk nilai-nilai integriti dalam kalangan mahasiswa untuk me­ngubah persepsi mereka terhadap ra­suah;
vi) SPRM memainkan peranan penting memupuk nilai-nilai positif di semua maktab perguruan supaya guru-guru boleh menyampaikan nilai-nilai yang baik kepada pelajar untuk masa depan mereka.
Kejayaan memerangi rasuah bukan sahaja dapat me­ningkatkan pendapatan negara tetapi juga mampu memperkemaskan sistem penyampaian awam, merangsang keyakinan dan memenangi sokongan orang ramai. Kita tidak ada pilihan lain kecuali memerangi rasuah di semua peringkat secara habis-habisan sebelum menjadi barah yang memusnahkan negara ini secara perlahan-lahan.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.

Utusan Malaysia Online