Friday, August 7, 2009

Angkasa Bantah Potongan Gaji Penjawat Awam Kepada Bank

PETALING JAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) membantah cadangan pejabat Akauntan Negara agar diwujudkan perkhidmatan potongan gaji penjawat awam kepada bank secara langsung.

Yang Dipertua Angkasa Datuk Abdul Rahim Abu Bakar berkata kerajaan perlu meneliti kesan negatif pelaksanaan langkah itu terhadap koperasi kredit atau perbankan kerana mereka akan kehilangan aktiviti teras dan mungkin terpaksa ditutup jika tidak berupaya untuk mempelbagaikan aktiviti.

"Ini akan membawa kesan buruk terhadap 2.8 juta anggota koperasi kredit atau perbankan dan beribu-ribu kakitangan koperasi. Ini kerana bank serta syarikat berkaitan kerajaan yang pada masa ini menggunakan perkhidmatan potongan gaji Angkasa berkemungkinan akan menarik diri sebagai pelanggan dan menguruskan sendiri pungutan bayaran pinjaman mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Angkasa di sini pada hari Jumaat.

Beliau mengulas langkah Akauntan Negara membuka tawaran perkhidmatan potongan gaji kepada bank dan syarikat kewangan tempatan yang memberi pinjaman kepada penjawat awam, sebagai alternatif kepada perkhidmatan yang hingga kini dipelopori oleh koperasi kredit, termasuk Bank Rakyat.

Abdul Rahim berkata tindakan itu juga menyebabkan koperasi kredit atau perbankan terpaksa bersaing dengan pemain industri yang jauh lebih besar sedangkan anggota koperasi majoritinya terdiri daripada kakitangan kerajaan dan tidak mempunyai dana yang besar.

Beliau berkata Angkasa telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 3 Mac lepas bagi menyuarakan kebimbangan badan koperasi terhadap langkah itu selain menghantar resolusi Perhimpunan Koperasi Kredit yang membantah tindakan itu pada 25 Mei lepas kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bernama Online

No comments: