Wednesday, August 26, 2009

Kakitangan Awam Diharap Diberi Bonus Sebelum Raya

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Penjawat awam berharap kerajaan akan mengumumkan pemberian bonus sebelum Hari Raya Puasa ini walaupun bajet 2010 dijadual dibentangkan pada 23 Okt depan.Perkara itu diluahkan beberapa penjawat awam dalam laman web 1Malaysia milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.Mayau Sarikei dari Sarawak berkata setiap kali menjelang perayaan Aidilfitri beliau dan isterinya akan berbelanja lebih sedikit daripada kebiasaan."Bagaimanapun, pada sambutan Hari Lebaran tahun ini, saya dan isteri kena mengurangkan sedikit perbelanjaan berikutan kami berpendapat sidang Belanjawan 2010 hanya akan berlangsung pada Oktober depan".Beliau berkata, ini bermakna peruntukan untuk memberi bonus kepada penjawat awam menjelang Hari Raya mungkin tidak dapat dilakukan."Oleh demikian, kami berharap YAB Datuk Seri dapat mencari jalan untuk memberi bonus kepada kakitangan awam bagi menambah persiapan untuk Hari Raya ini," katanya.Cadangan beliau disokong individu yang hanya menggelarkan dirinya sebagai penjawat awam yang berkata memandangkan harga barangan keperluan harian telah meningkat secara mendadak ia amat menggusarkan semua penjawat kerajaan."Dengan tiadanya bonus agak menyukarkan kami penjawat awam untuk membuat persiapan hari raya," katanya.Justeru, beliau berharap Najib yang juga Menteri Kewangan dapat mempertimbangkan permintaan itu dan memberi bonus sekurang-kurangnya RM1,000 kepada setiap penjawat awam, yang dibayar secara berperingkat iaitu sebelum raya dan pada pertengahan Disember.Sementara itu, menerusi laman web yang sama, Jayiddin bin Simon pula mencadangkan agar kerajaan memansuhkan bayaran lesen memandu untuk mengurangkan beban rakyat.

Bernama Online

No comments: