Saturday, August 8, 2009

Budaya kerja cemerlang perlu sentiasa dipupuk - MB

SEREMBAN 7 Ogos - Pengawai dan kakitangan kerajaan di negeri ini perlu memperlihatkan budaya kerja cemerlang bertujuan merubah persepsi negatif rakyat terhadap perkhidmatan awam.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sasaran untuk menghapuskan imej negatif tersebut yang diletakkan sebagai salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) negeri ini harus digembleng oleh semua pihak.

"Kita harus merubah persepsi rakyat kononnya berurusan dengan kerajaan adalah sesuatu yang membuang masa. Perkara ini boleh dicapai jika semua penjawat awam berusaha meningkatkan prestasi kerja di jabatan masing-masing," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 di Dewan Theatrette, Wisma Negeri di sini hari ini. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

Dalam majlis tersebut sebanyak 347 daripada 4,703 penjawat awam menerima anugerah tersebut yang berupa sijil penghargaan dan wang tunai RM1,000 sebagai insentif kerana cemerlang dalam perkhidmatan sepanjang tahun 2008.

Mohamad turut mengingatkan penjawat awam supaya meningkatkan mutu perkhidmatan mereka ke taraf lebih tinggi pada tahun depan.

"Dimaklumkan bahawa daripada 4,703 kakitangan awam di seluruh negeri ini sebanyak 2,533 daripadanya layak dipertimbangkan sebagai penerima anugerah ini.

''Ini membuktikan satu pencapaian yang baik dan berharap ia dapat dipertingkatkan pada tahun depan," kata beliau.

Utusan Online

No comments: